LIM KENG YAIK PATUT MINTA MAAF

  Menteri Perusahaan Utama, Datuk Lim Keng Yaik tidak seharusnya berdolak dalik. Membaca petikan daripada Hansard, saya melihat dengan jelas bahawa beliau sengaja mempersenda dan menghina pekerja-pekerja ladang, apabila menjawab solan mengenai gaji minima untuk mereka  dalam Parlimen baru-baru ini. Dengan terang sekali beliau berkata bahawa pekerja ladang tidak boleh didisiplin kerana berbeza dengan pekerja kilang, mereka tidak mudah diawasi. Apakah haknya membuat kenyataan menghina seperti, "Depan pokok kita boleh nampak dia, belakang pokok you tahulah". Apakah tujuan sindirannya ini?

Masanya sudah sampai bagi kita semua, termasuk menteri, berhenti memandang rendah terhadap pekerja. Pekerja ladang, seperti pekerja dalam industri lain, telah menyumbang banyak kepada pembangunan negara dan kemajuan rakyat. Tetapi khidmat  mereka tidak diiktiraf sewajarnya, dipandang dari segi gaji mereka yang rendah dan tidak dinaikkan walaupun produktiviti mereka bertambah. Bahkan, di  kalangan pekerja ladang, sering kelihatan bahawa walaupun harga getah naik dan produktiviti  bertambah, namun gaji pekerja tetap tidak berubah. Sudah sampai waktunya bagi gaji
minima, yang telah lama dituntut oleh para pekerja, diperkenalkan secepat mungkin untuk semua pekerja, bermula dengan pekerja ladang.

Lim Keng Yaik sepatutnya malu kerana kenyataannya. Tidak guna kita mendesak beliau berhenti, kerana di negeri ini tidak ada tradisi menteri mengambil tangungjawab atas perbuatan atau perkataan  mereka dan selepas itu meletak jawatan. Sudah cukup jikalau beliau berhenti memberi alasan dan terus meminta maaf secara terbuka kepada para pekerja.
 

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
24th May, 1999

CIA Reformasi : Mintak maaf, mintak maaf jugak.. pilihanraya ni tunggu jatuh le jawabnya.