KENYATAAN MEDIA:
UMNO PENGKHIANAT PERJUANGAN  BANGSA MELAYU
(13 Mei 1999 / 27 Muharam 1420)

    Dewan Pemuda PAS Pusat meminta supaya Pemangku Ketua Pemuda Umno Dato’ Hishamuddin Tun Hussin Onn menghentikan perbuatan mengadu domba politik perkauman dalam negara kita.

    Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan kenyataan Dato’ Hishamuddin berkaitan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang dilancarkan oleh DAP sebagai suatu usaha untuk menimbulkan sentimen perkauman khususnya di kalangan orang Melayu terhadap kaum lain khususnya orang Cina. Dato’ Hishamuddin cuba meletakkan kesalahan penghakisan ketuanan Melayu dan masa depan orang Melayu kepada DAP. Sedangkan Dato’ Hishamuddin lupa bahawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ sedang dilaksanakan oleh Umno dan BN dalam negara kita.

    Dewan Pemuda PAS Pusat mengingatkan Dato’ Hishamuddin bahawa penghakisan ketuanan Melayu sama ada dalam bidang politik, ekonomi dan pendidikan sedang dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN. Dewan Pemuda PAS Pusat mencabar Dato’ Hishamuddin dan Pemuda Umno untuk berdebat secara terbuka di hadapan rakyat untuk membincangkan soal masa depan ketuanan Melayu dalam negara kita. Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia membuktikan kepada Dato’ Hishamuddin dalam debat tersebut bahawa Umno-lah yang telah menghancurkan ketuanan Melayu dan segala kepentingan orang Melayu dalam negara kita. Jika Dato’ Hishamuddin dan Pemuda Umno tidak bersedia berdebat, beliau seharusnya menghentikan amalan buruk dan keji yang cuba mengekploitasi isu perkauman isu kebencian orang Melayu kepada orang Cina. Dewan Pemuda PAS Pusat memberi ingatan kepada Dato’ Hishamuddin dan Pemuda Umno supaya tidak mengembalikan igauan buruk 30 tahun dulu peristiwa 13 Mei. Cukup sudah orang Melayu, orang Cina, orang India dan masyarakat Malaysia menjadi mangsa kepada adu domba politik perkauman Umno dan BN.

    Sepanjang Umno dan BN memerintah sehingga sekarang nasib orang Melayu semakin terabai. Umno mengadaikan masa depan pendidikan anak-anak Melayu, ekuiti orang Melayu berkurangan, tanah rezab Melayu digadai kepada orang lain dengan pemimpin Umno yang bertukar menjadi
broker tanah. Gejala sosial yang berleluasa bertukar menjadi gejala murtad yang makin menghakis identiti orang Melayu yang beragama Islam.  Perbuatan Dato’ Hishamuddin yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini akan dikutuk oleh bangsa Melayu yang telah sedar bahawa Umno
adalah pengkhianat orang Melayu dan pemusnah masa depan orang Melayu. Umno-lah penderhaka terhadap perjuangan bangsa Melayu.

“BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN”
“BANGKIT TOLAK BN”

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat