KENYATAAN MEDIA ANGKATAN PEMUDA PRM
Tubuhkan Suruhanjaya Bebas
Siasat Gejala Korupsi, Kronisme dan Nepotisme Ke Akar Umbi
 

    Angkatan Pemuda PRM memandang serius akan gejala korupsi, kronisme dan nepotisme. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mendedahkan Wujudnya, apa yang dipanggil, kroni-kroni bekas Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pemuda PRM berpandangan soal-soal kroni, rasuah dan nepotisme ini tidak boleh dijadikan mainan politik Mahathir. Ia mesti ditangani dan dihadapi dengan jujur dan berani untuk mengatasi. Gejala buruk ini mesti dihapuskan sama sekali.

    Dr Mahathir hanya mendedahkan apa yang dipanggilnya kroni di kalangan penentang-penentangnya. Ini tidak adil. Bagaimana dengan tuduhan kroni, rasuah dan nepotisme  di kalangan penyokong-penyokong, kawan-kawan serta anak-anak dan saudara mara Dr Mahathir?

Kelihatannya Dr Mahathir Mohamad memiliki banyak maklumat tentang senarai harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang diisytiharkan kepadanya selaku Perdana Menteri. Senarai harta itu sekarang menjadi senjata kepada Dr Mahathir untuk menikam musuh-musuh dan penentang-penentangnya terutama di kalangan penyokong Datuk Seri  Anwar Ibrahim. Ini politik pulas tangan namanya.

    Pemuda PRM ingin bertanya bersediakah Dr Mahathir mendedahkan pula senarai harta kekayaan di kalangan kroni-kroninya yang menjadi Menteri-Menteri, Menteri-Menteri Besar, Timbalan-Timbalan Menteri?

Semua pemimpin kerajaan diminta mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri. Soalnya pula, Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri mengisytiharkan harta kekayaannya kepada siapa? Kita mahu tahu. Apakah Perdana Menteri bebas mengumpul harta kekayaan sama ada
atas nama peribadi atau atas nama anak-anak dan isteri atau nomine-nomine dan dia dikecualikan dari bersikap telus kepada sesiapa? Apakah Dr Mahathir Mohamad menduduki tempat yang tidak dapat disentuh oleh undang-undang dan peraturan negara?

    Pemuda PRM mengutamakan kepentingan negara. Ia ingin melihat wujudnya sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan telus di Malaysia ini. Justeru itu, Pemuda PRM menyeru kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat ke akar umbi gejala kronisme,
rasuah dan nepotisme yang wujud dalam kerajaan Barisan Nasional sekarang ini.

    Tidak menjadi rahsia lagi, bahawa parti yang memerintah, iaitu BN yang terdiri dari parti-parti komponen utamanya UMNO, MCA, MIC dan Gerakan telah terjebak di dalam amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Bukan UMNO saja tetapi lain-lain parti  komponen BN juga. Sebab itu
semuanya mesti disasat.

    Pemuda PRM tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pergolakan yang sedang berlaku di dalam UMNO atau BN. Tetapi demi kepentingan rakyat dan negara, maka kita mesti hadapi dan tentang masalah kronisme, rasuah dan nepotisme ini dengan sunggugh-sungguh. Inilah pendirian kami.

    Maka kerajaan yang ada hari ini mestilah mempunyai keberanian untuk menyiasat batang tubuhnya dari tuduhan rasuah, kronisme dan nepotisme. Janji ini sepatutnya dijadikan satu manifesto pilihanraya umum bagi UMNO dan BN untuk mendapatkan kembali mandat dari rakyat. Beranikah
UMNO dan BN berbuat demikian?

    Suruhanjaya Bebas yang diberi kuasa penuh oleh negara berhak melakukan penyiasatan menyeluruh tentang gejala buruk itu. Badan Pencegah Rasuah (BPR)tidak lagi berwibawa. BPR hilang wibawa kerana gagal menjalankan penyiasatan ke atas kes penyelewengan Syarikat Perwaja. Kes Perwaja itu telah didedahkan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1996. Sampai sekarang setelah tiga tahun masih tidak siap-siap. Kenapa? Kerana  Eric Chia, bekas Pengerusi Eksekutif Syarikat Perwaja itu adalah seorang kawan rapat Perdana Menteri. Ini satu contoh amalan
kroni. Satu penyelewengan.

    Penyelewengan di dalam kes Perwaja dibiarkan berlaku tanpa tindakan. Dr Mahathir lebih ghairah mengejar apa yang digelarnya kroni-kroni Anwar. Dia tak berminat nak dedah dan bongkar serta menghukum penjenayah yang merosakkan syarikat besi waja milik negara.

    Perwaja adalah sebuah syarikat milik kerajaan. Perwaja rugi akibat salah urus dan rasuah. Sebanyak RM 2.9 bilion ringgit syarikat Perwaja rugi.. Tidak itu saja, syarikat tersebut juga telah berhutang sebanyak RM 7 bilion ringgit. Jadi kesemuanya hampir RM 10 bilion wang kerajaan, wang rakyat dan wang negara hangus terbakar begitu saja. Negara dan rakyat terpaksa menangung beban hutang dan kerugian akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh kawan-kawan rapat Perdana Menteri. Sampai sekarang BPR tak selesai siasat kes Perwaja. Pengarah demi pengarah BPR bertukar orang. Tetapi Eric Chia bebas. Anwar Ibrahim, yang pernah membawa kes rasuah itu ke Parlimen pula kini dipenjarakan. Adakah ini adil? Kenapa hal memalukan seperti ini berlaku? Sebabnya pada pandangan kami ialah kerana, Perdana Menteri  cuba menutup kes
penyelewengan itu. Kes penutupan penyelewengan Perwaja merupakan satu cover-up terbesar Mahathir selama ia berkuasa. Ia adalah induk bagi pelbagai penutupan penyelewengan atau cover-up yang lain-lain. Jadi pada pandangan kami, satu Suruhanjaya Bebas perlulah menyiasat kes seumpama BPR dan lain-lain amalan kronisme, rasuah dan nepotisme.

    Dr Mahathir sendiri selaku seorang rakyat negara ini, selaku Perdana Menteri selama  18 tahun yang mempunyai anak-anak yang berniaga dan menjadi pengarah beratus buah syarikat perlu disasat. Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri paling lama dalam sejarah
Malaysia merdeka yang mempunyai ramai ahli keluarga serta sanak saudara dan sahabat serta kroni yang ramai keliling pinggangnya tentu tidak terlepas dari amalan rasuah yang busuk.

    Kebusukan dan kerosakan yang dibawa oleh rasuah, nepotisme dan kronisme ini sangat serius. Negara kita sekarang ini hampir parah dan bangkerap kerana gejala buruk ini. Jadi gejala itu mesti diperangi tanpa memilih-milih seperti yang cuba Mahathir lakukakan. Dia hanya hendak menghukum apa yang dipanggilnya kroni di kalangan orang-orang Anwar Ibrahim. Diri Mahathir dan orang-orangnya terlepas begitu saja.

    Cukup, sudah cukuplah dibiarkan gelagat Mahathir yang bertindak ikut nafsu dan kepentingan politik serta ekonominya saja. Pemuda PRM menyeru supaya rakyat bangun sekarang mendesak satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan. Siasat rekod pemerintahan Mahathir selama 18 tahun ini. Siasat secara telus dan adil. Siasat ke akar umbinya. Jika Mahathir terdapat berlaku rasuah dan pecah amanah, kita bicarakan dia..!! Bawa Mahathir ke mahkamah. Kita adili dia. Kita mesti berani
lakukan ini untuk selamatkan negara kita. Sama ada Mahathir masih berkuasa ataupun setelah dia bersara.

Hassan Karim
Ketua Pemuda PRM

5 Mei 1999