Chandra Muzaffar :Krisis Undang Undang & Hak Asasi Manusia
Ringkasan Ucapan
*******************
Undang-undang tidak semestinya menjamin keadilan dan hak asasi manusia. Keadilan dan hak asasi manusia tidak semestinya dicapai melalui undang-undang. ~C.I.A REFORMASI

Di Malaysia, sepertimana dengan beberapa negara lain, terdapat beberapa undang-undang yang jelas bertentangan dengan keadilan dan hak asasi manusia.  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh yang paling ketara.  ISA adalah tidak adil kerana ia menafikan hak asasi seorang
insan yang dituduh untuk dibicarakan melalui proses undang-undang.  Akta Hasutan pula boleh diperalatkan untuk menyekat hak bersuara; Akta Penerbitan juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama;  Akta Pertubuhan menyekat hak berpersatuan; Akta Polis menyekat hak berhimpun; Akta
Rahsia Rasmi menyekat pengaliran maklumat yang penting untuk membolehkan seseorang insan memain peranannya sebagai warganegara; dan Akta Universiti dan Kolej Universiti menghalang suatu kumpulan manusia tertentu daripada melaksanakan hak dan tanggungjawabnya kepada
masyarakat terutamanya dalan persoalan-persoalan penting yang berkaitan dengan keadilan dan demokrasi.

Penafian keadilan dan penyekatan hak asasi manusia melalui undang-undang menimbulkan tandatanya tentang peranan dan kedudukan undang-undang di negara kita.  Dalam sebuah negara yang benar-benar menegakkan prinsip 'The rule of law' atau pun kedaulatan undang-undang, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan dan Rukunegara, undang-undang tidak harus
digunakan untuk menafikan keadilan atau menyekat has asasi manusia.  Ini adalah kerana konsep 'The rule of law' berdasarkan pada beberapa prinsip-prinsip tertentu, antaranya prinsip keadilan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia.  Menggubal dan meluluskan undang-undang melalui Kabinet dan Parlimen tidak bermakna bahawa kita menegakkan 'The Rule of Law' --- meskipun Parlimen itu dipilih rakyat melalui pilihanraya yang sah.  Di negara German, pada awal dasawarga tiga puluhan, Hitler meminta Parlimennya yang dipilih oleh rakyat, untuk meluluskan beberapa undang-undang yang menyekat hak asasi rakyat, termasuk kaum Yahudi, Katolik, Gypsy dan sebagainya.  Walaupun Hitler bertindak melalui Parlimen dan proses undang-undang, tindakannya
dianggap bertentangan dengan konsep "rule of law' kerana kesan negatifnya terhadap keadilan dan hak asasi manusia.  Itulah sebabnya kita tidak harus terkeliru dengan konsep 'rule of law', yang berbeza daripada penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang sebagai suatu aktiviti rutin yang berlaku dalam semua negara termasuk negara-negara autoritarian dan berkuku besi yang tidak mengiktiraf langsung hak asasi warganya.  Ini menunjukkan sekali lagi bahawa wujudnya undang- undang tidak bermakna bahawa keadilan diamalkan.

Apabila kita mengkritik kerajaan kita tentang sikapnya kepada 'rule of law', pemimpin-pemimpin seperti Dr. Mahathir Mohamad biasanya mempertahankan pendirian mereka dengan alasan bahawa penyekatan terhadap hak asasi manusia melalui undang-undang seperti ISA, Akta Hasutan, Akta
Penerbitan dan Akta-Akta lain perlu dan penting untuk menjaga kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam konteks masyarakat berbilang kaum.  Sebahagian daripada masyarakat kita menyokong hujah kerajaan ini.  Mereka tidak sedar bahawa hujah kerajaan kurang kukuh
atas beberapa sebab. ~C.I.A REFORMASI

Pertama,  undang-undang semata-mata, dimana-mana pun, tidak dapat menjamin kestabilan.  Iran dibawah Shah Pahlavi, dan Filipina dibawah Ferdinand Marcos, mempunyai undang-undang yang jauh lebih ketat dan jauh lebih kejam daripada undang-undang Malaysia untuk menjaga kestabilan
negara.  Tetapi, diktator dikedua-dua negara tersebut gagal mempertahankan kestabilan.  Ketidakstabilan yang berpunca daripada ketidakadilan dan kezaliman mereka akhirnya membawa kepada penggulingan Shah dan Marcos oleh rakyat masing-masing.  Sejarah membuktikan bahawa
bukan undang-undang yang drastik, tetapi kepimpinan yang adil lagi jujur serta dasar-dasar ekonomi, sosial dan politik yang memihak kepada rakyat biasa yang dapat mejamin kestabilan negara.  Tanpa keadilan tidak ada kestabilan.  Jika pemimpin tidak jujur, rakyat tidak selamat.  Ini
bermakna bahawa kejujuranlah yang menjamin keselamatan.

Kedua, kita harus tanya:  Apakah kestabilan negara akan tergugat sekiranya kita meluangkan ruang yang lebih luas untuk perbincangan dan perbahasan tentang beberapa persoalan-persoalan masyarakat seperti jurang perbezaan antara golongan yang terlalu kaya dan golongan yang
kurang berada; dasar pro-korporat kerajaan Mahathir; dasar penswastaan; politik autoritarian dan kesannya terhadap kebebasan; masalah akauntabiliti dan ketelusan dalam ekonomi dan politik; dasar-dasar integrasi sosial; dan ancaman-ancaman terhadap nilai-nilai moral masyarakat.  Lebih khusus lagi, apakah desakan-desakan dari kumpulan-kumpulan NGO agar tindakan tegas diambil dalam kes Eric Chia dan Perwaja akan memudaratkan keselamatan negara?  Apakah forum dan
seminar anjuran persatuan-persatuan pengguna untuk membincang masalah kekurangan air di Lembah Kelang satu ancaman kepada kestabilan negeri Selangor?  Apakah ulasan daripada pakar-pakar akademik tentang kesan-kesan daripada jerebu harus disekat demi kesejahteraan rakyat? Dalam lain perkataan, dalam beberapa isu, kita tidak nampak bagaimana hak bersuara rakyat menjadi suatu ancaman kepada kestabilan negara.

Ketiga, memang benar dalam persoalan-persoalan lain, terutamanya yang berkaitan dengan kedudukan kaum dan peranan ugama, kita mesti peka kepada sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan ugama dinegara kita. Tetapi, dalam isu kaum dan ugama, undang-undang seperti Akta Hasutan dan ISA tidak berkesan dalam mempastikan keharmonian kaum dan ugama. Mempenjarakan seorang chauvinis kaum atau pelampau agama di bawah ISA atau Akta Hasutan tidak menjamin bahawa beliau akan ubah sikap atau pendiriannya.  Ini adalah kerana sikap chauvinis atau ekstremis, pada lazimnya, berakar dalam perasaan, orientasi dan pengalaman peribadi yang tidak mudah diubah, lebih-lebih lagi melalui tindakan undang-undang atau kepenjaraan.  Mungkin pendekatan saikologi serta pendidikan dan pendedahan sosial (social exposure) lebih berkesan dalam mengatasi
masalah individu-individu yang chauvinis atau melampau.  Lagipun, isu-isu yang biasanya dibangkitkan oleh golongan chauvinis dan ekstremis berhubungkait denga keadaan politik, ekonomi, sosial dan budaya.  Itulah sebabnya kita harus mencari penyelesaian kepada cabaran daripada
golongan chauvinis dan ekstremis dalam situasi-situasi kemasyarakatan. Ini memerlukan penggubalan dan perlaksanaan dasar-dasar yang adil kepada semua kaum dalam konteks masyarakat berbilang kaum.  Sekali lagi, ini menunjukkan bahawa peranan undang-undang yang menyekat dan menekan
begitu terbatas dalam menyelesaikan masalah-masalah socio-politik dan sosio-budaya. ~C.I.A REFORMASI

Ini tidak bermakna bahawa undang-undang tidak berperanan langsung dalam menyelesaikan cabaran-cabaran tertentu, termasuk cabaran-cabaran yang berkaitan dengan kaum dan ugama.  Walaupun undang-undang seperti ISA dan Akta Hasutan bukan satu penyelesaian, kita harus menggubalkan undang-undang yang khusus untuk masalah kaum dan ugama.  Tujuannya
adalah untuk mengawal dan mencegah individu dan kumpulan chauvinis dan ekstremis daripada mengeksploitasikan sentimen kaum dan ugama sehingga menimbul tegangan sosial dan konflik etnik.  Apa yang dimaksudkan dengan 'mengeksploitasikan sentimen kaum dan ugama' harus ditakrifkan mengikut kehendak-kehendak ilmiah dengan bantuan pakar-pakar hubungan kaum dan
sosiologi.  Undang-undang perhubungan kaum di negara-negara lain juga boleh digunakan sebagai garis panduan.  Perlu ditegaskan disini bahawa mereka yang didakwa dibawah undang-undang eksploitasi perasaan kaum dan ugama ini harus diberi peluang yang secukupnya untuk membela diri di mahkamah, mengikut lunas undang-undang.  Saya pernah mengemukakan cadangan ini buat kali pertamanya pada 1985.

Sekiranya kita mempunyai undang-undang khas tentang hubungan kaum dan ugama, salah satu daripada alasan yang diberi oleh kerajaan untuk mengekalkan ISA akan lenyap dengan sendirinya.  Samada undang-undang baru ini digubal atau tidak, ISA harus dimansuhkan.  Hujah-hujah yang
mendukung penghapusan ISA terlalu kuat untuk diketepikan oleh pihak pemerintah.  Sepertimana kita telah membuktikan dalam ucapan ini, ISA bertentangan dengan keadilan, hak asasi manusia dan 'rule of law'. Lagipun, ISA adalah undang-undang yang mudah disalahgunakan --- sebagaimana dibuktikan dalam tempoh lebih tiga puluh tahun yang lalu.

Selain daripada ISA, beberapa undang-undang lain juga mengenepikan keadilan dan menafikan hak asasi manusia --- sepertimana terbukti dalam ucapan ini.  Itulah sebabnya kita perlu menubuh satu suruhanjaya undang-undang dan hak asasi manusia yang bertujuan mengkaji dan menyemak
semua undang-undang yang berkuatkuasa di negara kita dewasa ini dari perspektif hak asasi manusia dan keadilan.  Sebahagian daripada undang-undang yang sedia ada mungkin dimansuhkan; yang lain mungkin dipinda; yang lain pula mungkin dikekalkan.

Moga-moga pembentukan suruhanjaya undang-undang dan hak asasi manusia akan dijadikan agenda utama kerajaan yang dipilih rakyat dalam pilihanraya yang kesepuluh yang akan diadakan tidak lama lagi. ~C.I.A REFORMASI
 

Dibentangkan dalam:
PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA
Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur
21 Februari 1999

Sumber:Seketariat GERAK.Terima Kasih.