Krisis Politik dan Ekonomi di Malaysia:
Suatu Tanggapan

Suatu hakikat yang sukar dinafikan ialah bahawa negara kita sedang dilanda krisis ekonomi dan politik. Krisis ekonomi yang sedang kita alami kini merupakan sebahagian daripada krisis ekonomi Asia yang secara khususnya dapat dikatakan telah mulai tercetus sejak 2 Julai 1997, yakni
ketika runtuhnya nilai matawang baht di Thailand. Fenomena itu kemudiannya dengan cepat merebak dari negara ke negara di rantau ini. Namun bibit krisis tersebut sebenarnya telah mulai bercambah lama sebelum tarikh tersebut.  ~C.I.A REFORMASI

Pelbagai macam penjelasan telah dikemukakan bagi menghuraikan sebab musabab tercetusnya krisis ekonomi tersebut, namun tidak ada satupun daripada huraian tersebut yang cukup memuaskan. Para ahli ekonomi mungkin memerlukan beberapa tahun lagi sebelum tercapai suatu penjelasan
yang dapat dipersetujui bersama tentang sebab musabab tercetusnya krisis itu -- namun pada waktu itu nanti fenomena itu mungkin telah menjadi sejarah. Sehingga kinipun, sebab musabab bagi Kemelesetan Agung awal tahun 1930an masih lagi diperdebatkan.

Krisis ekonomi yang dialami oleh rantau Asia itu sesungguhnya merupakan suatu fenomena baru, yakni krisis besar yang dilahirkan oleh sistem ekonomi global yang belum begitu kita fahami ciri-ciri asasinya.  Dan krisis yang dilahirkannya itu dengan peritnya telah menyentuh segala aspek kehidupan kita pada segala peringkat masyarakat -- sehingga kesannya terhadap kestabilan sosial dan politik negara-negara di rantau ini tidaklah boleh dianggap remeh.

Di beberapa negara krisis ekonomi itu telah meluas menjadi krisis politik. Di Indonesia, umpamanya, keadaan politiknya masih belum menentu meskipun setelah Suharto meletakkan jawatannya.  Demikian juga keadaan politik di Thailand dan Korea Selatan masih jauh daripada pulih dan
tenang sepenuhnya  setelah mengalami pancaroba yang agak menggemparkan sebagai kesan langsung krisis ekonomi tersebut. Di seluruh Asia, struktur ekonomi dan politik telah mengalami gegaran yang amat mengesankan.  Negara kita sendiri sedang mengalami kesan sosial dam
politik daripada krisis ekonomi Asia itu.

Krisis Ekonomi Asia -- Angkara Siapa?

Kerana barunya fenomena krisis ekonomi tersebut, maka kebanyakan kita belum dapat memahaminya secara mendalam. Tampaknya pengetahuan ekonomi kita yang biasa sudah tidak lagi memadai untuk menghuraikan fenomena ekonomi yang amat menonjol ciri-ciri globalnya dan kesan perkembangan teknologi maklumatnya itu. Namun semua pihak yang terlibat dalam krisis ini tampaknya amat berminat untuk mendedahkan siapa yang patut dipersalahkan -- jika tidak untuk memahaminya maka sekurang-kurangnya untuk melepaskan diri masing-masing daripada tanggungjawab sebagai pihak yang mencetuskannya.  ~C.I.A REFORMASI

Secara kasarnya terdapat dua pihak dalam permainan "saling salah menyalahkan" ini. Di satu pihak terdapat mereka yang menjadi "mangsa" krisis ekonomi Asia tersebut -- yakni para pemimpin negara-negara Asia yang terjejas oleh krisis tersebut. Di kalangan mereka ini, ada yang lebih lantang suaranya dan lebih berani daripada yang lain, misalnya perdana menteri kita, Dr Mahathir Mohamad, yang telah beberapa kali dan dalam pelbagai forum antarabangsa meletakkan tanggungjawab mencetuskan krisis tersebut sepenuhnya pada para pengurus dana asing.

Di pihak yang lain  pula terdapat suara-suara yang mewakili "kuasa-kuasa pasaran global" yang kebanyakannya terdiri daripada para pengurus dana, terutamanya para pengurus dana dari negara-negara Barat. Hujah para mangsa krisis ekonomi itu pada asasnya bertunjang pada semacam "teori konspirasi", mengandaikan bahawa terdapat semacam persekongkolan di kalangan orang atau kuasa luar terhadap negara-negara Asia dalam suatu rencana besar mereka untuk kembali menjajah
negara-negara itu sebagaimana yang pernah terjadi dalam sejarah. Istilah-istilah yang telah lama berkubur sejak berakhirnya Perang Dingin tampaknya telah diberi nafas baru dan diheret keluar untuk menghuraikan proses tersebut -- "penjajahan baru", "neo-kolonialisme", dan sebagainya.

Sebaliknya pula, para penganalisis Barat -- kebanyakannya yang berlagak sebagai "pembela" sistem kapitalis global itu -- lebih cenderung menyalahkan negara-negara Asia itu sendiri sebagai penyebab tercetusnya krisis tersebut. Sistem perbankan negara-negara itu yang lemah, sistem sosialnya yang "tidak terbuka", sistem pengagihan ekonominya yang tidak adil, amalan-amalan pengawalannya yang cela, sistem politiknya yang tidak telus (yang disarangi ciri-ciri nepotisme, kronisme dan korupsi)
-- merupakan beberapa ciri yang dikemukakan untuk menjelaskan sebab berlakunya pelarian keluar secara berbondong-bondong modal dan aset cair lainnya dari negara-negara tersebut, dan seterusnya mencetuskan krisis ekonomi.

Tanpa perlu memperdalami sebab musabab krisis itu secara terperinci lagi rencam, dapatlah kita simpulkan bahawa kedua-dua pihak sebenarnya bertanggungjawab. Dosa utama para pemimpin negara-negara membangun di Asia ialah langkah mengintegrasikan negara masing-masing ke dalam sistem ekonomi global yang belum mereka fahami sepenuhnya tanpa pertimbangan yang mendalam dan kawalan yang berkesan.

Sebenarnya, sejauh mana kita mau terintegrasi ke dalam sistem tersebut terserah pada pilihan kita sendiri. Namun, dengan tahap integrasi yang kurang maka kurang pulalah jumlah modal dan aset cair asing yang dapat kita manfaatkan -- dan besar kemungkinannya kadar pertumbuhan ekonomi
kita tidak semudah dan secepat itu mencapai tahap "keajaiban Asia" yang digembar-gemburkan itu.

Godaan untuk melakukan integrasi sepenuhnya itu amatlah kuat. Dengan cara melonggarkan kawalan dan melaksanakan dasar penswastaan, misalnya, maka tentulah lebih banyak "wang panas" yang dapat dimanfaatkan daripada sistem ekonomi sejagat itu demi merealisasikan impian yang sering tidak realistik dan tidak produktif para ahli politik dan ahli perniagaan (yang bergabung dalam ikatan kronisme dan nepotime yang "sumbang") yang begitu rakus untuk membina kota dan bandar udara, mencakar langit, merentang lebuhraya, menjambatani selat, dan sebagainya.

Namun ini tidaklah bererti bahawa pengurus dana dan pelabur wang asing itu samasekali tidak bersalah.  Ikatan kronisme dan nepotisme yang mereka kecam kemudiannya itu pada mulanya malah menjadi semacam dorongan kepada mereka behawa pinjaman yang mereka berikan itu "dijamin" oleh negara. Para penganalisis dan akhbar-akhbar perniagaan mereka di rantau ini bukan sekadar memberikan gambaran yang indah tentang ekonomi-ekonomi tersebut tetapi juga menjadi pencanang gagasan "keajaiban Asia" dan pendorong "budaya mewah" (culture of boom) di rantau ini.

Untuk sekian lamanya pertimbangan mereka sendiri menjadi silau oleh cahaya peluang dan kesempatan memperoleh laba yang besar daripada emerging markets itu. Bila mereka menyedari betapa lompongnya sistem sosial, politik dan ekonomi negara-negara tersebut maka mereka sendiri
tanpa berlengah-lengah lagi, seperti sekawanan haiwan liar yang terkejut, berbondong-bondong lari meninggalkannya demi menyelamatkan pelaburan mereka.

Jelaslah bahawa kehebatan konspirasi dan niat jahat kuasa-kuasa luar sahaja tidaklah memadai bagi menghuraikan tahap krisis ekonomi yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kebanyakan negara Asia itu. Tahap integrasi yang kita putuskan sendiri untuk kita laksanakan dalam sistem ekonomi global yang dicirikan oleh  teknologi maklumat itu -- serta bentuk sistem sosial dan pemerintahan dalam negara yang kita lahirkan untuk menangani penintegrasian tersebut -- malah lebih kuat kesannya
dalam menentukan dampak krisis itu terhadap kita.

Negara Kita Menangani Budaya Kemewahan

Pengalaman kita dalam menangani usaha mengintegrasikan ekonomi negara ini sepenuhnya  ke dalam sistem kewangan global tersebut sejak akhir tahun 1980an dan awal tahun 1990an amatlah jelas -- dengan kesan-kesannya yang jelas terhadap  bidang-bidang politik, sosial dan budaya. Malah pendekatan penswastaan, peliberalan dan deregulasi telah menyentuh hampir setiap aspek kehidupan bernegara kita, demi menyelaraskannya dengan tuntutan ekonomi pasaran sejagat.

Dalam suasana tersebut, sebahagian besar rencana pebentukan jatidiri bangsa kita telah dikesampingkan, peranan pendidikan hampir dikomoditikan keseluruhannya demi memenuhi tuntutan pasaran, segala aspek kehidupan kita terdedah kepada unsur-unsur budaya pasaran dan popular, terutamanya Barat, tanpa soal jawab lagi.

Dalam suasana pertumbuhan ekonomi yang pesat yang ditunjangi oleh aliran modal luar itu, pihak pemerintah tidaklah begitu perlu merancang pertumbuhan dengan begitu rapi. Malah dengan mengendurkan pelbagai peraturan dan halangan (deregulasi), di samping melaksanakan dasar
peswastaan, pertumbuhan ekonomi dapat dilepaskan kepada inisiatif para usahawan. Dengan modal dari "wang panas" yang disediakan oleh sistem ekonomi global dan sokongan serta konsesi yang diperolehi dari pemerintah setempat yang amat bersimpati, maka sebilangan para pelabur negara ini telah dapat melaksanakan keadaan yang kelihatannya seperti ekonomi "mewah" dalam suasana budaya "Malaysia boleh".

Oleh kerana ekonomi itu pada asasnya berasaskan pada insiatif para usahawan yang sekadar mengadunkan sumber modal yang bukan miliknya dan sokongan pemerintahan yang mudah dimanipulasinya, maka kemungkinan bahawa sebahagian besar projek-projek yang mereka laksanakan itu merupakan projek yang tidak perlu dan tidak produktif amatlah besar. Namun projek-projek itu tetap merupakan projek yang dari pertimbangan perniagaannya tetap kelihatan viable -- kerana pada akhirnya kelak hutang modalnya akan dibayar melalui perolehan wang rakyat yang akan terpaksa membayar harga perkhidmatan yang terus meningkat demi memperoleh perkidmatan jalan raya, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Perjanjian konsensi dengan pihak pemerintah yang amat berat sebelah sifatnya seolah-olah menajmin perolehan masa depan itu. Namun demikian, sistem pemerintahan yang kini telah melepaskan sebahagian besar tanggungjawab lamanya kepada pihak swasta itu masih juga diteruskan
dalam bentuk dan cara yang lama. Cukai yang dulu dikenakan kepada rakyat bagi khidmat yang kini sudah diserahkan kepada pihak swasta yang mengenakan bayaran baru kepada rakyat masih diteruskan.

Namun demikian, deregulasi dan peningkatan kebebasan pada pihak swasta itu tidak pula diimbangi dengan peningkatan kebebasan dan hak bersuara pada pihak rakyat. Misalnya, manakala para pelabur swasta kini semakin bebas untuk mendirikan maktab dan universiti swasta tanpa peraturan dan regulasi yang banyak, kemungkinan para siswa untuk bersuara dan berpersatuan semakin berkurangan. Malah peranan pelbagai institusi sosial dalam sistem demokrasi yang tulen -- seperti media, kehakiman, polis  -- terus dibatasi. Malah pembatasan itu menjadi semakin perlu, demi memungkinkan pemerintah melaksanakan rencana ekonominya bersama pihak swasta itu tanpa terlalu banyak halangan dan gangguan.  ~C.I.A REFORMASI

Oleh kerana kegiatan ekonomi yang berlangsung dalam suasana "budaya mewah" yang palsu ini untuk jangka pendeknya telah menimbulkan banyak kegiatan ekonomi sampingan yang dapat disertai oleh banyak peserta, maka sokongan terhadap pemerintah juga turut meningkat. Kemuncak daripada sokongan ini terjelma, misalnya, dalam keputusan pilihanraya tahun 1995 yang telah memberikan kemenangan yang amat besar kepada kerajaan BN. Namun demikian, dalam semua piliharaya kecil yang diadakan selepas itu tampaknya kemengangn BN itu sudah tidak dapat dipertahankan lagi.

Krisis Ekonomi Melahirkan Krisis Politik?

Apakah ini bererti bahawa krisis ekonomi yang telah menlanda negara kita sejak pertengahan tahun 1997 itu kini telah berkembang menjadi krisis politik? Jika keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum tahun 1995 belum begitu jelas memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap ilusi "budaya mewah" yang kononnya telah dihasilkan oleh dasar peswastaan dan deregulasi itu, maka bantahan yang meluas ke seluruh negara baru-baru ini terhadap peningkatan kadar tol lebuhraya tampaknya merupakan bukti yang lebih jelas tentang hal tersebut.

Oleh kerana terdapat hubungan yang amat rapat -- malah sering dikatakan "sumbang" -- antara para ahli politik dan para ahli perniagaan dan usahawan dalam sistem politik negara yang berlangsung selama zaman "keajaiban Asia" itu, maka "percaturan" politik di negara ini pada waktu
ini tidaklah begitu kuat ditentukan oleh perbezaan dasar atau ideologi,sebaliknya ditentukan oleh alignment para ahli politik dengan kepentingan-kepetingan kumpulan perniagaan tertentu.

Oleh yang demikian, bila persoalan kronisme, nepotisme dan rasuah mulai dicetuskan oleh  pihak tertentu pada perhimpunan agung UMNO tahun 1998, Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan supaya senarai syarikat-syarikat yang memperoleh manfaat daripada projek-projek penswastaan didedahkan. Pendedadahan itu telah disambut oleh media yang dikuasai pemerintahan di
negara ini sebagai tanda bermulanya zaman "ketelusan baru" di negara ini. Namun bagi barang siapa yang mengkaji senarai-senarai tersebut dengan teliti akan jelaslah bahawa senarai-senarai itu sama sekali tidak mampu menafikan wujudnya amalan kronisme, nepotisme dan korusi di negara
ini -- malah amalan tersebut berleluasa diamalkan melalui suatu rangkaian kompleks para ahli politik, para kroni yang terkenal dan para "wakil"nya yang belum begitu terkenal.

Pada hemat saya, apa yang coba dilakukan dengan pendedahan senarai-senarai tersebut bukanlah untuk menyatakan bahawa "saya tidak mengamalkan kronisme" tetapi untuk menyatakan bahawa "bukan saya saja yang mengamalkan kronisme, orang lain-lain juga turut mengamalkannya". Nyatalah bahawa krisis ekonomi Asia yang melanda negara ini bukan sahaja
telah menyerlahkan pelbagai kepincangan asasi dalam sistem politik negara ini tetapi telah memantapkan lagi garis keretakan dan perebutan kuasa di kalangan para pemimpin, khususnya para pemimpin UMNO. Seperti yang dinyatakan Dr. S. Husin Ali dalam pertemuan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) pada 9 September 1998:

Penyingkiran Anwar Ibrahim berlaku disebabkan antara lain oleh perbezaan pendekatan di antaranya dengan Mahathir tentang cara untuk menangani krisis ekonomi ... Lebih penting lagi ialah perebutan kuasa di kalangan kepimpinan UMNO. Segelintir golongan yang telah menjadi kaya raya dengan bantuan Mahathir mahu memastikan beliau terus berkuasa supaya dapat melindungi kepentingan ekonomi mereka yang sangat besar itu. Mereka juga mahu memastikan bahawa pengganti Mahathir mestilah seorang yang boleh terus diperalatkan untuk melindungi kepentingan mereka. Nyata sekali Anwar bukannya orang yang sesuai untuk melindungi kepentingan mereka ...
 
Saga Anwar Atau Transformasi Budaya Politik?

Pemecatan Anwar Ibrahim terjadi pada 2 September 1998. Sehari setelah itu dia disingkirkan pula daripada UMNO, parti politik tempat dia memegang jawatan Timbalan Presidennya. Suasana di tempat mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada waktu itu sungguh tegang: sekumpulan kira-kira 1,000 orang telah berkumpul sejak awal petang. Kumpulan itu jelas "pro-Anwar". Menjelang saat mesyuarat itu tamat pada waktu dinihari dan keputusan MT menyingkirkan Anwar telah disahkan, suasana semakin kecoh dan riuh rendah.

Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, dan beberapa anggota MT lainnya telah diejek dan dilempar dengan kertas dan kotak minuman semasa mereka beredar menuju kereta masing-masing. Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Melayu para pemimpin politik kanan diberi layanan yang sedemikian rupa seperti pada hari itu. Perlakuan tersebut sesungguhnya bukanlah merupakan corak bantahan yang lazim bagi orang Melayu maupun warga Malaysia pada umumnya.

Segera setelah Anwar dipecat dia telah mencetuskan suatu "gerakan reformasi" dengan kembali kepada "lingkungan sokongan" atau constituencynya  yang asal, yakni beberapa badan pelajar dan belia yang berorientasi Islam. Namun pada ketika itu natijah perjuangan gerakan tersebut kurang jelas dan amat terbatas -- mungkin sekadar untuk mengembalikan Anwar ke kedudukan asalnya sebagai pemimpin UMNO. Meskipun tujuan yang terbatas itu gagal dicapai, namun momentum gerakan yang telah mereka mulakan itu terus berjalan seiring dengan kegiatan ratusan, malah ribuan, orang muda yang terus berhimpun di rumah Anwar dan berdemonstrasi di tempat-tempat lain.

Pada ketika itu, saya kira, tidak banyak orang menganggap serius gerakan reformasi yang tercetus oleh peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim itu.  Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew, yang taksirannya tentang peristiwa-peristiwa politik di rantau ini biasanya dihormati dunia melamarkan bahawa gerakan tersebut hanya akan bertahan selama beberapa hari sahaja kerana, menurut beliau, kerajaan mempunyai kekuatan luarbiasa untuk  menghapuskannya. Namun ramalan itu terbukti salah. Bukan sahaja tunjuk-tunjuk perasaan berterusan hingga kini (mungkin dengan keghairahan yang berkurangan) malah gerakan itu kemudiannya telah melahirkan sekurang-kurang dua perikatan parti-parti politik pembangkang  dan badan-badan bukan kerajaan yang bertindih (GERAK dan GAGASAN), dan diikuti pula oleh ADIL.

Bagaimanakah realiti "gerakan reformasi" -- yang tampaknya mempunyai daya tahan yang luar biasa dan menjadi fenomena politik yang paling menarik dalam suasana yang kita namakan krisis politik itu -- harus kita tanggapi?  Dalam hal ini, menurut hemat saya, ada dua lapisan realiti politik yang perlu kita tanggapi. Satu lapisan dapat kita sebut lapisan realpolitik -- yakni aspek tindak tanduk politik atau aspek politik amali. Namun di sebalik realpolitik, selalu terdapat apa yang disebut the underlying social and political forces (tenaga-tenaga sosial dan politik yang mendasari). Kita perlu memberikan perhatian kepada kedua-dua aspek yang berasingan ini.  ~C.I.A REFORMASI

Perhatian biasanya kita berikan hanya terhadap aspek realpolitik:  Anwar disingkirkan dari jawatan dan kedudukannya, dan dia kemudiannya melakukan penentangan -- dengan ditunjangi oleh para penyokongnya. Akan tetapi penyikiran seperti ini bukanlah perkara baru dalam perlakuan politik masyarakat kita. Dr Mahathir sendiri pernah disingkirkan daripada UMNO dan sebagai akibatnya pada waktu itu dia terpaksa berkelana dalam belantara politik -- hinggalah dia diselamatkan oleh Tun Abdul Razak yang menggantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri. Menentang kerajaan melalui "politik jalanan" juga sudah pernah dilakukan dahulu tetapi tidaklah begitu berkesan, seperti yang dinyatakan oleh Lee Kuan Yew itu.

Apakah yang telah memberikan "gerakan reformasi" kali ini daya tahan dan daya untuk berkembang, sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan pengucapan penentangan politik sebelum ini?  Menurut hemat saya, untuk memahami hal ini perlulah kita mengkaji bukan sahaja percaturan
realpolitiknya tetapi juga underlying political and social forces yang  mencirikannya.

Pada waktu "gerakan reformasi" ini mula-mula tercetus, dalam sebuah rencana pendek yang diterbitkan oleh akhbar (bahasa Inggeris) di Singapura (The New Paper, 7 September 1998) saya menyatakan:

"Barangkali unsur perubahan generasi dalam budaya politik Malaysia moden ... patut diberikan perhatian yang lebih teliti bagi memahami  sokongan yang diperolehi Anwar Ibrahim ketika ini. Mungkin tidak memadai kita hanya membataskan tanggapan kepada keretakan dan perebutan kuasa antara Anwar dan Mahathir bagi kepimpinan UMNO atau keretakan antara mereka berhubung dengan dasar ekonomi. "

Saya melihat terdapatnya suatu kontradiksi antara realpolitik yang dilaksanakan menurut lunas-lunas era 1960an dan 1970an dengan suatu budaya politik baru akhir tahun 1990an. Oleh yang demikian, dalam melaksanakan tindakan politiknya terhadap Anwar Ibrahim itu, Dr Mahathir mungkin tidak menyedari tentang transformasi budaya politik ini atau sekurang-kurang telah menyalah taksir (underestimate) kekuatannya. Dalam kerangka budaya politik 1960an, ketika budaya politik UMNO khususnya masih tebal unsur feudal dan patronagenya, langkah seorang pemimpin yang
berkuasa menyingkir seorang pemimpin seperti Anwar, amat kecil kemungkinannya untuk melahirkan krisis dan penentangan politik yang berpanjangan.

Caranya ialah: pemimpin itu mengemukakan tuduhan dan alasannya untuk bertindak; dia menyatakan bahawa dia "mempunyai bukti-bukti kukuh dan dia yakin tentang kesahihan bukti-bukti tersebut"; dia memeproleh sokongan daripada pemimpin-pemimpin lain dalam parti. Malah jika masih
diperlukan, institusi pemerintahan negara seperti polis, media massa, malah institusi kehakiman, akan dipergunakan untuk menjadikan kerja itu tuntas.

Dalam kebijaksanaan dan pengalaman sejarah politik ini hingga kini, tatacara yang demikian itu biasanya pastilah akan mendatangkan kesan yang diharapkan oleh si pemimpin. Namun sekali ini ternyata ada suatu hakikat hukum sosial yang telah dilupakan: bahawa masyarakat dan budaya
politik senantiasa berubah -- malah suasana sekitaran masyarakat dan budaya politik tersebut juga senantiasa berubah. Terbukti bahawa era teknologi maklumat  dan kesan proses pensejagatan (globalisasi) bukanlah sekadar retorika kosong, dan sepatutnya telah diambil kira dalam segala
perhitungan tindak tanduk politik semasa.

Oleh yang demikian, hakikat bahawa suara dan tindakan politik yang berterusan untuk beberapa lama di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur dan di beberapa bandar kecil dan besar lainnya di negara ini selama beberapa bulan setelah Anwar Ibrahim ditahan, dihadapkan ke mahkamah, dijadikan
mangsa tuduhan dan tohmahan yang serius lagi mengaibkan,  telah memeranjatkan banyak pihak -- terutamanya mereka yang sebelum ini telah merangka tindak-tanduk politiknya tanpa kesedaran dan kefahaman yang mendalam terhadap perubahan besar (sea change) yang telah terjadi kepada
budaya politik Malaysia kini.

Tidak akan ada organisasi massa maupun parti politik -- malah tokoh yang berwibawa maupun berkarisme, termasuklah Anwar Ibrahim sendiri -- yang akan cukup berupaya untuk menjamin berterusannya (sustain) gerakan itu untuk sekian lama. Kekuatan itu memproleh kekuatan daripada penolakan rakyat akan pendekatan dan komunikasi politik yang berasaskan pendekatan zaman feudal. Gerakan tersebut memperoleh kekuatan daripada suasana dan teknologi zaman globalisasi dan TM. Gerakan itu memeproleh kekuatan daripada sikap baru rakyat yang menolak dakwaan sewenang-wenang para pemimpin politik yang tidak sanggup bersikap telus dan terbuka.

Kategori-kategori politik lama yang berasaskan prinsip dan gaya perjuangan parti-parti politik tradisional dengan ideologi yang terbentuk oleh pengalaman sejarah lama -- baik kolonialisme, penindasan kelas maupun percaturan politik perkauman -- mungkin sudah tidak cocok lagi sepenuhnya dengan budaya dan psyche politik generasi baru di Malaysia kini. Mungkin hakikat ini telah disedari oleh para pemimpin tertinggi UMNO sendiri, tetapi kerana kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu amat terbatas maka yang dilaksanakan hanyalah
langkah tactical menangguhkan perhimpunan dan pilihanraya parti selama selama 18 bulan.

Sebenarnya, perubahan menyeluruh budaya politik kita ini bukanlah sesuatu yang dikehendaki, apa lagi dirancang, oleh para pemimpin politik yang berkuasa di negara ini. Jika kita mengkaji secara kritis kandungan dan natijah dokumen-dokumen perancangan sosial jangka panjang negara --
misalnya "Wawasan 2020" -- maka akan jelaslah bahawa yang sebenarnya dirancang hanyalah sebuah masyarakat yang berdagang dan menggunakan (consume) teknologi, tetapi tetap dengan mentaliti politiknya yang bersifat feudal, sempit dan menyerah.

Namun transformasi budaya dan perubahan sikap rupanya tidak dapat dipisah-pisahkan dan dikotak-kotakkan. Kebangkitan sosial, kesedaran politik dan tuntutan terhadap kebebasan, keadilan dan keterbukaan pasti akan timbul di kalangan masyarakat yang terdidik dan terpelajar --
meskipun sistem pendidikan kita sebenarnya telah digubal sebegitu rupa untuk melahirkan manusia yang sekadar menjadi pengguna teknologi dan pekerja teknik, dan bukannya menjadi pemikir dan pengkritik yang peka. Dan kesedaran sosial inilah, kebangkitan rakyat inilah, groundswell
inilah, yang kini menjadi penggerak dan pendorong fenomena sosio-politik yang kita kenali sebagai "gerakan reformasi" itu, yakni satu-satunya sumber harapan untuk menawarkan alternatif dan penyelesaian terhadap sistem politik kita yang sedang menghadapi krisis kini.

Gerakan Reformasi -- Langkah ke Hadapan?

Jika kita perhatikan dengan teliti, maka garis pertentangan utama yang terjelma dalam masyarakat kita sejak tercetusnya gerakan reformasi ialah di antara pihak yang yang mahu menyepitkannya dari segi konsep dan tanggapan menjadi "gerakan Anwar" di satu pihak dan pihak yang mahu
memperluaskannya menjadi "gerakan perubahan sosial" di pihak yang lain.  ~C.I.A REFORMASI

Menurut pandangan pihak pertama itu -- termasuklah pihak pemerintah -- persoalannya hanyalah persoalan realpolitik yang amat mudah:  Anwar sebagai pewaris yang telah sejak lama diasuh untuk menjadi penerus pimpinan dalam struktur kekuasaan politik yang ada kini telah didapati tidak lagi sesuai untuk memainkan peranan tersebut -- kerana beberapa kepencangan peribadinya dari segi moral maupun politik yang baru sahaja disedari.  Oleh yang demikian, kedudukannya perlu dikaji semula dan jawatannya perlu dilucutkan untuk memberi laluan kepada calon lain yang lebih sesuai -- dan pelbagai institusi pemerintahan demokrasi negara ini perlu dipergunakan "secara sah" demi memusnahkan kerjaya politiknya itu.

Namun demikian, pihak yang melihat persoalan ini dari perspektif yang lebih luas enggan melihatnya sebagai "persoalan Anwar" semata-mata atau malah sebagai persoalan kesesuaian pimpinan politik beliau. Malah, layanan yang diberikan oleh pelbagai institusi pemerintahan itu sendiri terus dipersoalkan atas alasan tidak kredibelnya institusi-institusi itu sendiri. Menurut perspektif ini, kes Anwar itu hanyalah merupakan satu lagi contoh dalam satu genre ketidakadilan politik yang lebih luas, yang sebelum ini telah terjadi berulang kali, antara lain melibatkan tokoh-tokoh seperti Lim Guan Eng, melibatkan manipulasi institusi kehakiman, melibatkan penyalahgunaan institusi-institusi pemerintahan negara seperti polis, melibatkan penyalahgunaan undang-undang yang kejam
seperti ISA, melibatkan manipulasi keterlaluan media massa, dan sebagainya.

Selain itu, krisis ekonomi Asia yang turut melanda negara ini telah memfokuskan perdebatan itu kepada beberapa persoalan kepincangan pemerintahan (governance) yang lebih penting. Manakala pihak pertama itu mahu menyempitkan persoalan kepada kesan "peranan tidak bertanggung-jawab"  beberapa orang pengurus dana dan modal asing, pihak yang kedua pula cenderung untuk memperluaskan analisis tentang krisis tersebut.  Bagi pihak tersebut krisis ekonomi itu telah mendedahkan suatu kepincangan besar sistem sosial, politik dan ekonomi negara ini sendiri yang melibatkan amalan-amalan kronisme, nepotisme dan korupsi yang telah dilaksanakan secara amat rakus dan tidak terkawal untuk memperoleh manfaat dari sistem ekonomi global yang belum cukup difahami.

Oleh yang demikian, cabaran terbesar yang dihadapi oleh gerakan reformasi di negara ini ialah untuk memiliki suatu kefahaman konseptual yang mendalam tentang krisis politik dan sosial yang sedang kita hadapi kini. Gerakan itu tidak harus membenarkan dirinya digoda semata-mata oleh pertimbangan-pertimbangan realpolitik, tanpa berusaha memahami tenaga-tenaga sosial yang sebenarnya sedang bergolak dalam masyarakat. Hanya dengan memahami sifat kebangkitan sosial tersebut, barulah gerakan reformasi itu dapat menjadi penyalur dan wahana sikap serta suasana baru itu.

Syarat utama bagi badan-badan yang terlibat dalam gerakan reformasi itu -- baik NGO maupun parti-parti politik -- ialah bahawa mereka perlu bersatu, yakni bersatu dalam memahami dan menyuarakan hasrat semasa rakyat, bersatu dalam memahami dan menolak kepincangan yang terdapat dalam sistem yang lama, dan bersatu dalam kesediaan tulus masing-masing mengubah dan membetulkan beberapa kepincangan dan kecacatan lama hasil daripada sejarah dan persepsi lama yang tidak sesuai lagi dengan zaman ini.

Pengalaman gerakan ini selama beberapa bulan yang lalu menunjukkan bahawa krisis politik ini, dan reaksi gerakan reformasi terhadapnya, bukan sahaja telah melahirkan suatu suasana dan kesepaduan baru dalam masyarakat kita tetapi juga telah menyerlahkan penerusan beberapa sikap dan prasangka lama yang merupakan kecacatan asasi masyarakat kita. Misalnya, meskipun sikap menghendaki perubahan dan reform itu sudah agak meluas, namun masih terdapat juga kerisauan-kerisauan asasi yang diasaskan pada pertimbangan-pertimbangan yang bersifat sectional dan perkauman yang merupakan semacam penerusan atau inertia daripada ciri-ciri lama politik perkauman kita. Pada hemat saya, ini menunjukkan bahawa jalan ke hadapan kita bukanlah mudah dan masih banyak onak dan ranjaunya.  ~C.I.A REFORMASI

Dibentangkan oleh:
Rustam A. Sani
PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA
Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur
21 Februari 1999
Rustam A. Sani
E-mail: <rustam@netscape.net>

Sumber: Sekretariat GERAK.Terima Kasih