Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor :
Bangun Untuk Berubah..

Sidang hadirin yang dihormati sekelian,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Firman Allah azza wa jal yang bermaksud:

' Wahai orang orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih
dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.'

Surah Al Maaidah Ayat 8.

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah yang menghimpunkan kita di Persidangan Kebangsaan Keadilan Rakyat Malaysia  pada pagi ini untuk sekali lagi menyatakan komitmen kita yang berterusan dalam menegakkan  keadilan dan menentang kezaliman. Walaupun baru beberapa bulan sahaja  GERAK ditubuhkan tetapi impak dan arus perubahan yang kita bawa sudah  semakin relevan dengan suasana dan keadaan di Malaysia. Arus ini  mestilah dikekalkan supaya perubahan yang kita ingini merupakan satu  perjuangan sepanjang masa dan berkekalan.  ~C.I.A REFORMASI

Semangat bangun untuk merubah semakin meresap ke dalam masyarakat  Malaysia yang hari ini sudah semakin meluat melihat lakonan dan  sandiwara yang dipertontonkan oleh Kerajaan Barisan Nasional di bawah  pimpinan Dr. Mahathir Mohamad. Kerakusan mereka bukan sekadar mengaut
keuntungan dan kekayaan negara dalam bentuk material semata mata malah  telah juga mengaut dan mencabul hak asasi masyarakat untuk bersuara dan  menyatakan pendapat secara terbuka. Rakyat juga turut disekat daripada  mendapatkan pandangan kedua .

Undang-undang dan keadilan adalah terletak kepada kemahuan dan kehendak  seorang individu yang berlagak dan bertindak sebagai seorang diktator  yang tidak boleh ditegur. Sikap individu ini semakin hari semakin  menjadi apatah lagi bila ianya disokong pula oleh sekumpulan 'yes man'
yang akan bertindak dengan bersungguh sungguh untuk melaksanakan arahan  demi menjaga kedudukan dan periuk nasi masing masing.

Saudara saudara yang dihormati sekelian,

Hak asasi telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah  tajuk Kebebasan Asasi. Ia termasuk kebebasan diri, habeas corpus, hak  diberitahu sebab sebab seorang  ditangkap, hak dibela oleh pengamal  undang undang dan hak dibawa ke Mahkamah dengan segara selepas
ditangkap.

 Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak sama rata disisi  undang undang. Perkara 9 memperuntukkan hak warganegara masuk dan  bergerak di Malaysia. Perkara 10 pula memperuntukkan kebebasan bercakap,  berhimpun dan menubuh persatuan.

Hak kebebasan beragama juga telah diperuntukkan oleh Perlembagaan namun  hari ini sekali lagi hak itu telah diperkosa dan secara terbuka telah  kita dengar bersama bagaimana Sdr. Anwar Ibrahim tidak dibenarkan untuk  menunaikan solat Jumaat. Di mana keadilannya Barisan Nasional dalam  mendaulatkan undang undang negara yang meletakkan agama Islam sebagai
agama rasmi Persekutuan .

Persoalannya adalah sejauh manakah peruntukan Perlembagaan ini  benar-benar didaulatkan? Konsep ' rule of law ' yang kononnya menjadi  teras dalam sistem undang undang kita hanyalah sekadar teori-teori yang  diajarkan di fakulti undang-undang. Peruntukan-peruntukan yang begitu
ideal di dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya telah disekat oleh  berbagai-bagai lagi undang-undang dan peraturan yang  dikenakan ke atas  masyarakat.  ~C.I.A REFORMASI

Ini mengakibatkan kebebasan asasi sebenarnya adalah merupakan sesuatu  yang amat subjektif dan mempunyai tafsiran yang amat terbatas. Bukan  sahaja tafsiranya terbatas, tetapi hari ini undang-undang hanya  ditafsirkan oleh Dr. Mahathir Mohamad. Sesuatu isu itu adalah dikira
relevan atau pun tidak mengikut sejauh mana relevan atau tidaknya  pentafsiran beliau.

Mutakhir ini kita sering didedahkan dengan berbagai isu yang menguji  intergriti sistem keadilan di Malaysia. Institusi institusi yang  diberikan amanah untuk mentadbir keadilan dan keselamatan awam telah  diperalatkan untuk kepentingan dan keselamatan individu dan kumpulan  tertentu. Kaedah pemusatan kuasa yang berlaku di Malaysia hari ini telah  mengakibatkan institusi keadilan dan keselamatan awam gagal berfungsi  untuk mengwujudkan hak dan kebebasan asasi seperti yang telah  diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Keganasan pihak Polis dalam menangani perhimpunan aman rakyat yang  diperuntukkan oleh Perlembagaan adalah satu bukti yang amat ketara untuk  dipersoalkan sejauhmanakah keprofesionalan pihak Polis dalam menjalankan  tugas mereka tanpa ada hasutan dan tekanan dari mana-mana pihak.

Kebebasan para Hakim dan Mahkamah menjadi tanda tanya yang dibincang bukan lagi oleh para akademik dan penggamal undang undang sahaja tetapi juga oleh pengunjung gerai-gerai kopi dan diperhentian bas.

Perkembangan terkini yang melibatkan penguatkuasaan Akta Amalan Guaman (Legal Profession Act)1976 (Pindaan 1978) yang membolehkan Peguam Negara mengeluarkan sijil kebenaran khas kepada peguam asing yang tidak dan tanpa keperluan menjadi ahli Majlis Peguam untuk bergiat sebagai peguambela dan peguamcara di Semenanjung adalah satu cabaran yang cukup hebat kepada penggamal undang-undang di Malaysia.

Isu tol yang melanda lebuhraya diseluruh negara adalah satu bentuk penindasan yang keterlaluan kepada rakyat. Alasan keuntungan hanya akan diperolehi pada tahun 2012 untuk menaikkan harga tol adalah satu sandiwara yang amat memalukan. Kita bukan menolak pembangunan tetapi kita tidak mahu pembangunan yang dibina diatas kesengsaraan rakyat. Apa ertinya pembangunan sekiranya rakyat dibebankan dengan belanja besar yang berterusan.

Kezaliman yang ditaja oleh kerajaan Barisan Nasional khasnya dengan mengaut keuntungan negara untuk kroni dan kaum kerabat adalah antara punca kegawatan ekonomi yang berlaku hari ini. Kezaliman ekonomi dalam bentuk projek mewah, pembaziran dan pentadbiran kewangan yang tidak
telus mengakibatkan ringgit merudum sedemikian rupa sehingga tidak punya nilai. Kegawatan ekonomi adalah hasil dari tindakan negatif kerajaan Barisan Nasional.

Kegawatan politik yang melanda pula adalah hasil dari sistem dan kaedah politik yang tidak berteras kepada akhlak. Satu senario baru politik telah timbul  dimana episod tikam dari belakang, politik wang dan lain-lain istilah di kalangan orang-orang politik Barisan Nasional.

Dalam kegawatan keadilan yang berlaku hari ini, maka satu bentuk perubahan adalah amat diperlukan. Ini adalah kerana masyarakat akan terus menerus menjadi mangsa kepada kerakusan sistem yang ada untuk terus kekal dalam kuasa demi menjaga kepentingan sendiri.

Keadilan adalah merupakan isu universal yang diperjuangkan oleh mereka yang menginginkan kesejahteraan. Di dalam Islam ianya adalah merupakan teras kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Wahyu yang diturunkan Allah dari langit ini membawa arahan dan perintah keadilan untuk manusia sejagat. Islam yang diturunkan sebagai rahmat kepada manusia memberikan tumpuan kepada keadilan dalam semua aspek kehidupan.

Dalam perlaksanaan undang-undang contohnya, Saidina Ali ra. yang pernah menjadi plaintif di dalam sebuah kes yang defendennya adalah seorang Yahudi. Walaupun Saidina Ali adalah seorang Khalifah dan yang dituduh adalah seorang rakyat biasa beragama Yahudi tetapi kerana tidak cukup
bahan keterangan dan bukti maka mahkamah menolak tuduhan dari saidina Ali. Begini lah bebasnya institusi kehakiman di dalam Islam. Mahkamah tidak boleh dan tidak akan campur tangan walaupun yang terlibat adalah seorang pemimpin negara.

Seorang wanita pernah datang berjumpa dengan Saidina Umar ra. setelah melumur peha dan pakaiannya dengan putih telur dengan alasan itu adalah air mani seorang lelaki yang memperkosanya. Apabila kes ini didengar dan Saidina Ali ra. bertindak sebagai peguam, lelaki yang dituduh itu telah
dilepaskan dan perempuan itu dijatuhi hukuman kerana membuat tuduhan Qadhf tanpa bukti yang cukup. Ini adalah contoh precedent yang pernah berlaku didalam sejarah Islam. Ciri-ciri keadilan ini pula bukan hanya sekadar catatan sejarah tetapi adalah merupakan satu kaedah yang dipakai
umum untuk semua orang, keadaan dan tempat.  ~C.I.A REFORMASI

Peranan kita di dalam GERAK adalah untuk terus menerus membangkitkan kesedaran rakyat tentang hak mereka yang telah dan sedang dicabul. Pencabulan ini akan berterusan sekiranya mereka yakni rakyat tidak bangun dan meruntuhkan sistem yang ada ini dan menggantikannya dengan kumpulan dan sistem yang mengajak dan melaksanakan satu bentuk pembaharuan.

Kerajaan Barisan Nasional mesti diruntuhkan sebelum kerosakan yang lebih dahsyat berlaku kepada Malaysia. Usaha untuk meruntuhkan mereka mestilah dibuat secara kolektif kerana keupayaan kita adalah terbatas. Mereka punya media dan segala jentera kerajaan dan pemerintahan untuk
diperalatkan dalam program mengkaburkan pemikiran rakyat.

Rakyat mesti terus bertindak untuk menolak kezaliman Barisan Nasional khasnya UMNO dan membina sebuah kerajaan baru yang adil dan saksama yang tidak lagi menzalimi antara satu sama lain. Keadilan sejagat mesti dituntut sebagai ganti kepada kerakusan Barisan Nasional. Sifat
universal yang berteras kepada akhlak hendaklah dilihat sebagai asas kepada pembentukkan sebuah masyarakat madani yang lebih progresif, efisyen dan bermaruah.

Kuasa yang ada pada rakyat hendaklah digembelingkan untuk melakukan perubahan. Al-Quran telah mengaskan bahawa Allah tidak akan merubah sesuatu kaum selagi mana kaum itu sendiri tidak melakukan perubahan. Kalau rakyat masih rela untuk diperbodohkan oleh Barisan Nasional maka
kezaliman dan ketidakadilan akan terus melanda. Tetapi sekiranya rakyat bersedia untuk membuat perubahan maka Barisan Nasional hendaklah dikuburkan.

Akhirnya saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa keadilan akan hanya dapat kita tegakkan di Malaysia sekiranya keseluruhan rakyat bersama bangun menolak dengan keberanian dan meruntuhkan Barisan Nasional.Perjuangan untuk menegakkan keadilan hendak lah dilakukan berterusan dengan kita berganding bahu antara parti parti politik, NGO dan orang perseorangan dalam ruang undang undang yang masih lagi kita hormati setakat ini. Perjuangan kita hendaklah diteruskan walau apa pun yang datang untuk menghalang.  ~C.I.A REFORMASI

Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim saya dengan ini merasmikan Persidangan Keadilan Rakyat Malaysia.

Teks Ucapan Perasmian Persidangan Kebangsaan Keadilan Rakyat Malaysia
Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor
Pengerusi  Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia.

Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur
21 Februari 1999

Sumber: Sekretariat GERAK.Terima Kasih