KENYATAAN MEDIA
PENAMATAN KONTRAK DR CHANDRA SUATU KEZALIMAN YANG BERBAU POLITIK

Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat menganggap penamatan kontrak Prof Dr Chandra Muzaffar sebagai Profesor dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya oleh Pihak Berkuasa Universiti tersebut yang berkuat kuasa 1 Mac 1999 sebagai suatu tindakan yang zalim dan berkepentingan politik. ~C.I.A REFORMASI

Alasan ekonomi yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Universiti adalah tidak munasabah kerana sebagai sebuah badan korporat, pihak universiti harus mengambil kira pendapatan universiti yang berjumlah RM 205,087.00 adalah hasil daripada yuran 46 orang pelajar Sarjana Peradaban dari
pusat tersebut. Ini menunjukan pihak universiti tidak mengalami masalah kewangan untuk menampung kos pengurusan pusat tersebut.

Dengan yuran pengajian sekitar RM 5,000.00 untuk seorang pelajar Sarjana Peradaban, bermakna pihak universiti sebagai badan korporat juga mesti mengambil kira kualiti pengajian yang diterima oleh pelajar adalah setimpal dengan bayaran tersebut. Memandangkan pusat tersebut telah pun
mengoptimumkan penggunaan tenaga pengajar dengan hanya mempunyai dua orang pensyarah iaitu Dr Chandra dan En Rustam A Sani, penamatan kontrak ini sudah tentu menjejaskan kualiti pembelajaran keseluruhannya. Tambah lagi, mulai 2 Mac 1999 akan bermulanya perperiksaan akhir bagi pelajar Sarjana Peradaban. Seramai lebih 40 orang pelajar sarjana mengambil dua
kertas yang diajar oleh Dr Chandra. Selain itu, terdapat seramai lapan pelajar sedang menyiapkan Disertasi sebagai aktiviti ilmiah yang menjadi syarat untuk mendapatkan ijazah Sarjana Peradaban adalah di bawah seliaan Dr Chandra. Penamatan kontrak ini sudah tentu akan menjejaskan
kualiti pembelajaran mereka. DPP Pusat sangat prihatin kepada permasalah yang dihadapi oleh para pelajar tersebut.

DPP Pusat berpandangan bahawa penamatan kontrak ini sangat berkait rapat dengan kelantangan dan kecergasan  Dr Chandra dalam memperjuangkan keadilan melalui wadah JUST, ADIL, GERAK dan GAGASAN.  Pihak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Universiti sepatutnya bertindak secara anak jantan dengan memberikan keadilan kepada ahli akademik dan pelajar bukannya meneruskan kezaliman dengan menamatkan kontrak Dr Chandra tanpa alasan yang wajar. Dr Chandra sewajarnya diberi peluang untuk berperanan dalam mengurangkan pergeseran antara kaum dan budaya akibat daripada dasar perkauman yang diamal oleh Kerajaan Barisan Nasional melalui Pusat Dialog Peradaban ini.

Penglibatan Dr Chandra bersama NGO adalah tidak menyalahi AUKU sebagai mana tindakan pihak Universiti Malaya kepada pensyarah lain akibat terlibat dengan parti politik. Ini bermakna pihak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Universiti menjadikan alasan ekonomi untuk menamatkan kontrak Dr Chandra. DPP Pusat lebih melihat bahawa kenyatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad di Sabah pada minggu lepas supaya semua ahli akademik tidak terlibat dalam menghasut pelajar dan rakyat agar membenci kerajaan sebagai faktor utama penamatan kontrak ini. Kerana itu DPP Pusat membuat kesimpulan bahawa tindakan ini adalah satu pemecatan kerana faktor politik bukannya penamatan kontrak akibat kegawatan ekonomi. ~C.I.A REFORMASI

DPP Pusat juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap sikap tidak kosisten pentadbiran universiti dalam menentukan sikap dan dasar terhadap isu-isu semasa. Kenyataan Timbalan Naib Cancelor (HEP), Prof Dato' Dr Firdaus yang menegaskan bahawa pihak universiti akan bersikap terbuka dengan membenarkan pemimpin pembangkang memberikan pandangan mereka kepada para
pelajar adalah bercanggah dengan tindakan pemecatan ini. Pihak universiti sebagai badan profesional sepatutnya bersikap positif di dalam membina minda pelajar dan rakyat.

Oleh itu, DPP Pusat menggesa Pihak Berkuasa Universiti terutama Tan Sri Dato' Haji Bashir Ismail selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti agar menarik balik pemecatan tersebut untuk memberikan keadilan kepada Dr Chandra, mengekalkan kualiti akademik pelajar dan menjaga imej
korporat universiti. Jika pihak universiti mengekalkan keputusan ini, bermakna pihak universiti melakukan kezaliman dan membiarkan nilai kualiti pelajar terabai. Ini juga akan memjejaskan imej korporat UM dengan adanya campur tangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan
politik.

DPP Pusat juga menyeru kepada semua ahli akademik yang lain dan juga pelajar agar tidak merasa gerun dengan tindakan ini untuk terus memperjuangkan keadilan kepada rakyat. DPP Pusat juga mendoakan agar Dr Chandra terus tabah dan istiqomah  di dalam menyatakan kebenaran dan
memperjuangkan keadilan. Semoga kezaliman Kerajaan Barisan Nasional dapat ditamatkan dengan segera dan digantikan oleh sebuah kerajaan yang adil dan saksama. ~C.I.A REFORMASI
 

"BANGKIT TOLAK BN"
"BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN"
 

HJ MAHFUZ HJ OMAR
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat
24 Februari 1999 / 7 Zulkaedah 1419

Sumber:Diterima dari DPP Pusat.Terima kasih