MAJLIS GERAKAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA (GERAK)
PAS,PRM,DAP,PUM,ABIM,JIM,SUARAM,PPIM,ISMA,CAP,TERAS,PKPIM,URUS,YATIM,JUST,ALIRAN,GAMIS,BSGM,PPIK


DEKLARASI PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA

PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA pada hari ini, 21
Februari 1999 bersamaan 4 Zulkaedah 1419, cukup menginsafi dan merakamkan bahawa Negara Malaysia yang telah merdeka selama 42 tahun mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan agama yang sangat berhajatkan dan memerlukan kesejahteraan dan keadilan politik, ekonomi
dan sosial ~C.I.A REFORMASI 

DAN

Pada hari ini dengan rasa amat duka cita, gusar dan kecewa,  merakamkan bahawa unsur-unsur kesejahteraan dan keadilan politik, ekonomi dan sosial hampir tidak wujud lagi selepas 18 tahun pemerintahan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, khususnya sebagai akibat
perkembangan mutakhir.

Perkembangan-perkembangan ini jelas diperlihatkan dalam beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam bidang politik, ekonomi dan sosial negara kita kebelakangan ini, seperti dalam contoh-contoh berikut : .

1. Kes pendakwaan ke atas YB Lim Guang Eng, Ahli Parlimen Kota Melaka;

2. Penggunaan ISA dan undang-undang lain untuk menangkap dan menahan Datuk Nalla, Dr Munawar Annes, Sdr Sukma dan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain yang bermotif politik;

3. Perbicaraan melalui media yang dilakukan oleh pihak Dr Mahathir selaku Perdana Menteri dan kuncu-kuncunya terhadap tuduhan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum proses perbicaraan berlangsung di mahkamah;

4. Penangkapan dan penahanan beratus rakyat Malaysia kerana mereka membantah tindakan Dr Mahathir tersebut serta tindakan ganas pihak polis ke atas mereka;

5. Pelaksanaan perbicaraan Dato' Seri Anwar di mahkamah dengan cara yang ternyata tidak adil dan melanggar prinsip-prinsip perundangan dan dasar kehakiman;

6. Sekatan pihak berkuasa ke atas penyiaran berita seimbang dan lengkap melalui radio, TV dan akhbar nasional sehingga secara terang-terangan media menjadi alat propaganda pihak tertentu dalam kerajaan tanpa mempedulikan prinsip keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban dan;

7. Pembaziran dalam melaksanakan pembinaan projek-projek mega dan kurangnya ketelusan dalam bidang perniagaan, khususnya dalam pelaksanaan penswataan, pengagihan projek kerajaan, sistem perbankan dan pinjaman serta cara penggunaan tabungan rakyat seperti KWSP, tabung  Haji dan
sebagainya. .~C.I.A REFORMASI 

Memandangkan kepada perkara-perkara  tersebut di atas dan beberapa contohnya, PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA  pada hari ini dengan segala keprihatinan, rasa tanggungjawab dan penuh keyakinan, meyakini bahawa untuk memulihkan amalan demokrasi berparlimen dan hak asasi rakyat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, langkah berikut perlu diambil :

1. Perdana Menteri Dr Mahathir meletakkan jawatan segera sebagai langkah pertama ke arah memulihkan institusi-institusi dan sistem demokrasi di negara kita;

2. Pilihanraya Umum diadakan dengan segera untuk membolehkan rakyat memilih sebuah kerajaan  yang mempunyai mandat mengembalikan ciri-ciri demokrasi. Dalam pada itu undang-undang seperti ISA, Akta Polis, Akta Percetakan, Akta Hasutan dan lain-lain yang bertentangan dengan amalan
demokrasi dimansuhkan atau dipinda; .~C.I.A REFORMASI 

3. Kedaulatan dan keluhuran undang-undang (rule of law) dan sistem kehakiman dikembalikan dan diperkuatkan;

4. Mengambil tindakan supaya mempastikan media massa memberi kebebasan bersuara kepada semua parti serta organisasi politik, budaya dan agama;

5. Ketelusan dan pertanggungjawaban dapat dipastikan dalam semua kegiatan kerajaan, khususnya dalam bidang kewangan, perniagaan dan sebagainya tanpa wujudnya unsur-unsur kroni, kolusi dan nepotisme. .~C.I.A REFORMASI 

Oleh itu PERSIDANGAN KEBANGSAAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA pada hari ini menyeru kepada seluruh lapisan rakyat Malaysia yang sedar, insaf dan prihatin dari kalangan alim ulama', ahli akademik dan cendikiawan, para pegawai awam dan swasta,  ahli korporat dan usahawan, orang perseorangan, warga buruh dan industri, masyarakat tani dan nelayan
serta segenap lapisan masyarakat termasuk kaum ibu dan wanita supaya bangun serentak bersama dengan pakatan-pakatan rakyat yang terdiri daripada GERAK, GAGASAN dan ADIL untuk

BERSATU bagi menegakkan KEADILAN POLITIK, KESEJAHTERAAN SOSIAL dan
KEMAKMURAN EKONOMI dalam satu PAKATAN TINDAKAN POLITIK RAKYAT MALAYSIA untuk MEWUJUDKAN SEBUAH KERAJAAN ALTERNATIF dan MENEGAKKAN MALAYSIA BARU sebagai langkah bagi MEWUJUDKAN KEADILAN untuk SELURUH RAKYAT MALAYSIA .~C.I.A REFORMASI 
 
 Sumber:Sekretariat GERAK.Terima Kasih.