KENYATAAN MEDIA: TAKTIK KOTOR DR. MAHATHIR
MAINKAN ISU PERKAUMAN

Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat memandang serius kenyataan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa terdapat anasir-anasir dari dalam dan luar negara yang cuba melaga-lagakan penduduk berbilang kaum di negara ini supaya rusuhan
tercetus. Kenyataan Dr. Mahathir ini sempena Perutusan Tahun Baru Cina telah diberi liputan yang besar di muka hadapan akhbar-akhbar nasional pada 15 Februari 1999 dan semalam beliau telah mengulanginya sekali lagi semasa berucap pada Sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina di Sandakan Sabah~C.I.A REFORMASI. .

Ucapan Dr. Mahathir itu sangat dipersoalkan kebenaran dan kewajarannya di waktu masyarakat dan rakyat rata-ratanya tidak ada langsung menyentuh tentang isu perkauman dalam perjuangan mereka menuntut keadilan tetapi apa yang dibangkitkan oleh rakyat adalah kepentingan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kemusnahan akibat kegagalan dasar-dasar pemerintahan negara yang diterajui oleh Dr. Mahathir, UMNO dan BN. Apakah kebenaran dan kewajarannya bagi  Dr. Mahathir membangkitkan isu perkauman di waktu perkara tersebut tidak langsung berbangkit dalam
negara kita hari ini?

Bagi DPP Pusat kenyataan-kenyataan Dr. Mahathir  membayangkan beliau mempunyai agenda politik tersembunyi dalam usaha untuk mengembalikan pengaruh dan keyakinan rakyat kepada beliau. Satu agenda politik berunsur jahat sedang dan telah dirancang bagi tujuan memperdagangkan
perpaduan rakyat ini dengan isu perkauman semata-mata untuk menyelamatkan kuasa Dr. Mahathir, UMNO dan BN.  Dr. Mahathir melihat bahawa banyak sudah percubaan yang dibuat oleh beliau, UMNO dan BN untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada pemerintah negara hari ini sudah
gagal. Cubaan baru ialah menimbulkan isu perkauman. Satu agenda tersembunyi yang sebenarnya bukanlah satu agenda asing bagi BN,  yang telah menimbulkan isu perkauman pada tahun 1969 dan 1987 di mana UMNO yang membangkitkan semangat Melayu untuk memusuhi Cina dan sebaliknya MCA membangkitkan semangat Cina untuk memusuhi Melayu tetapi akhirnya pemimpin pembangkang yang tidak terlibat ditahan dalam percaturan politik perkauman.  Sedangkan tujuan percaturan tersebut untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu  kepada UMNO dan orang Cina kepada MCA.

Strategi dan taktik kotor ini nampaknya akan digunakan sekali lagi  oleh Dr. Mahathir, UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang ini. Tanda-tanda ke arah percaturan politik perkauman sudah ada dan ini terbukti dengan ucapan-ucapan Dr. Mahathir akhir-akhir ini yang menjurus
kepada kebimbangan yang direka-reka tentang cubaan anasir-anasir dari dalam dan luar negara untuk melaga-lagakan kaum-kaum di negara ini.

DPP Pusat menyifatkan taktik Dr. Mahathir yang menggunakan senjata perkauman untuk mempertahankan  kekuasaanya adalah satu tindakan paling sumbang, paling jijik dan paling hina dalam sejarah politik negara kita.  Tindak tanduk Dr. Mahathir menggambarkan beliau telah hilang
kewarasan berfikir dan kewarasan berpolitik dalam menghadapi saingan politik dan menghadapi kebangkitan rakyat. DPP Pusat mengingatkan rakyat tentang bahayanya agenda perkauman yang cuba dibangkit oleh Dr. Mahathir, UMNO dan BN untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada
berusaha menolak Dr. Mahathir, UMNO dan BN  kepada menyokong mereka. Rakyat perlu berhati-hati dalam menangani langkah percaturan politik Dr. Mahathir dan kroninya.

DPP Pusat juga meminta pihak polis yang 'mesra rakyat' segera mengambil tanggungjawab menghalang agenda politik kotor Dr. Mahathir dan memandang serius setiap langkah Dr. Mahathir yang cuba menggunakan taktik kotor memperdagangkan perpaduan rakyat untuk mempertahankan kekuasaannya yang di ambang kejatuhan. ~C.I.A REFORMASI.

DPP Pusat menyeru kepada rakyat supaya kekal dengan perpaduan, membulatkan tekad dan azam untuk bersama menyelamatkan Malaysia dengan menolak BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang. 

"BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN"
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

19 Februari 1999 / 2 Zulkaedah 1419