Kabinet Baru Kukuhkan PM Untuk Pilihanraya
 
     Ketua Polis Negara berundur, “1-0 menang,” ujar seorang peguam di jabatan
     kerajaan, sambil mengangkat penumbuk ke udara (gaya pejuang). Esoknya, dia
     tertanya-tanya, “apa sebenarnya tujuan Mahathir membentuk kabinet baru?” Dalam
     satu analisis ringkas sebuah laman web, perlantikan Pak Lah dilihat sebagai satu usaha
     mengukuhkan Perdana Menteri dalam Umno dan juga untuk persediaan pilihanraya.
     Beliau melantik muka-muka baru – seperti Nazri Aziz, Kadir Sheikh Fadhil – ke
     jawatan-jawatan strategik itu untuk terus mencengkam kementerian-kementerian
     terbabit. Mereka ini dilihat bersedia tunduk kepada Mahathir. ~C.I.A REFORMASI.

     Sudah menjadi amalan Mahathir memegang sendiri jawatan menteri bagi
     kementerian-kementerian penting sebaik sahaja menteri terdahulu dilihat bermasalah
     dengannya. Contohnya, Menteri Dalam Negeri selepas Musa berundur, Menteri
     Kehakiman selepas krisis dengan hakim, dan Menteri Kewangan selepas menolak
     Anwar. Akibatnya, sudah meluas sindiran kononnya PM monopoli kuasa. Tiba-tiba,
     dengan penuh kejutan – seolah-olah cuba meraikan “keresahan rakyat” yang semakin
     kritis terhadapnya – PM membuang semua kementerian-kementerian itu daripada
     cengkaman langsungnya. Tetapi menyerahkan Menteri Kewangan kepada Daim
     (timbalannya Nazri, Menteri Kewangan 2 masih Mustapha) dan menendang Afifuddin
     ke taraf kementerian low-profile tidak memberi apa-apa makna. Begitu juga melantik
     Pak Lah sebagai TPM dan Menteri Dalam Negeri – semua pemimpin ini dikenali orang
     kanan dan “budak-budak” Mahathir dalam Umno dan kerajaan.

     Bukannya cuba meraikan pandangan rakyat, malah sebenar-benarnya mengukuhkan
     kedudukan beliau dengan “apa cara sekali pun” Begitulah juga dalam Mesyuarat Agung
     Khas Umno 13 Disember lalu yang meluluskan usul bahawa pemilihan boleh dibuat
     dalam tempoh 18 bulan. Pemilihan itu sepatutnya tahun ini, selewat-lewatnya bulan Jun
     ini, tetapi seperti diramalkan oleh Dr. Rais Yatim, “tiang gol (tarikh tersebut) sudah
     dianjak lagi”! Mahathir sebenarnya mencari peluang bernafas untuk terus manoeuvre
     dan membuat pilihan-pilihan. Macam juga dia mengambil keputusan mengadakan
     kawalan matawang dan keesokannya memecat Anwar. Tindakan ini boleh diistilah
     sebagai “satu pakej tindakan politik” yang sama – yakni mengukuhkan kedudukan
     dalam parti dan bersiap sedia berdepan dengan pilihanraya.

     Dan teriakan penyokong reformasi kerana kononnya “kemenangan” perletakan
     jawatan KPN telah di-mistify oleh manoeuvre politik Mahathir melalui kabinet baru itu.
     Nampaknya, mainan politik Mahathir masih lagi di luar jangkaan musuh-musuh
     politiknya dan menguntungkan dirinya sendiri, sekali gus meremehkan penentangnya. Di
     peringkat terbaru ini, rakyat mula mengendur nafsu protesnya – khasnya melalui
     perbicaraan kes Anwar yang panjang, memualkan dan menjemukan – dan akan akur
     pada canangan politik Mahathir, seperti juga kempen patriotisme (kibar bendera,
     kempen rakyat desa) untuk meminta rakyat berdiri di belakangnya. Pada lewat
     1980-an dulu, Mahathir memilih untuk turun dalam perhimpunan raksaksa atas nama
     “Setia Bersama Rakyat”.

     Lalu, mereka yang bijak politik – seperti dapat dilihat dalam laman web paling top di
     dunia, “~Mahazalim”, pada malam pengumuman kabinet baru itu – memberi amaran
     “Bahaya! Bahaya! Bahaya!”. Menurutnya, isu sebenar bukan apa yang dibuat oleh
     Mahathir, KPN dan juga Peguam Negara. Isu sebenar ialah perletakan jawatan PM
     dan perubahan besar-besaran kepada sistem agar ketelusan, akauntabiliti dan prinsip
     demokrasi lebih terjamin. Di peringkat yang ada hari ini, rakyat memerlukan bacaan
     politik yang jauh lebih tinggi dan pembangkang serta Gerakan Reformasi harus
     menggandakan tenaga kempennya.

     Mahathir sudah pun memulakan langkah-langkah kemenangannya atau pun, cuba
     mengurangkan risiko maut di tangan pengundi. ~C.I.A REFORMASI.
 
Sumber: Majalah Detik