Make your own free website on Tripod.com
RAJA ADIL PAYUNG RAKYAT

Sungguh bangga dan terharu rasanya Jebat melihat Baginda Sultan Selangor mencemar duli melawat hamba rakyat yang rumah mereka diruntuhkan oleh kerajaan yang zalim dan tidak berhati perut ini.

Betapa bangganya hamba rakyat melihat Abu Hasan , si Menteri Boros dimarahi baginda Sultan di atas tindakan kerajaannya yang tidak berhati perut.

Tulisan Jebat tempoh hari (Raja Zalim Raja Disanggah) bukanlah bertujuan untuk menghina raja atau menjatuhkan maruah mereka -- itu kerja Mahathir.; Tujuan Jebat ialah untuk membangkitkan semula maruah dan penghormatan rakyat pada raja.

Benar, raja tidak ada kuasa macam PM atau MB tetapi sebenarnya itu tidak perlu kalau rakyat menghormati raja.  Dan penghormatan rakyat itu datang apabila raja bertindak menyebelahi rakyat yang tertindas dan terhina.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bidang-bidang kuasa yang ada pada  raja dan majlis raja-raja.

Raja-raja sekalian masih boleh bertindak mengikut perlembagaan dalam menangani krisis politik yang melanda negara sekarang ini, dengan tidak membiarkan Mahthir terus menzalimi rakyat semahunya.

Kalau tidak raja akan turut digolongkan bersama dengan golongan penindas itu juga. Sepatah titah yang baik dari baginda Sultan akan disambut dengan laungan "Daulat Tuanku" dari ribuan hamba rakyat jelata yang ingin berpayung di bawah naungan keadilan Duli Tuanku.

Mahathir  telah bertindak menghina dan mengaibkan para Sultan dan melantik dirinya duduk di singgahsana kezaliman.  Kini terserahlah kepada Tuanku sekalian untuk memulihkah maruah institusi beraja di negara kita yang tercinta ini.

Kita yakin Mahathir  tidak akan berani memenjarakan raja-raja kalau seluruh Raja memberikan sokongan dan pembelaan yang terbuka terhadap nasib rakyat dan negara yang kian terabai di tangan segelintir pemimpin yang tak sedar diri dan mabuk kuasa.

Kita mahu melihat kembalinya Sultan Alaudin Riayat Syah, pembela rakyat tertindas, Raja Ali Haji, pahlawan yang gagah berani, dan Sultan Mahkota Alam, penakluk yang agung.  Sultan-sultan begini layak menerima taat setia rakyat, bahkan Jebat sanggup mati mempertahankan raja-raja sebegini.

Di saat sebegini tatkala pemimpin negara dan para pengampunya sudah melampaui batas, mahkamah sudah tidak boleh  dipercayai lagi, polis sudah seperti polis Mossad Israel, pejabat Peguam Negara sudah menjadi markas cerekarama, siapakah lagi manusia di bumi Malaysia ini yang masih rakyat jelata boleh bergantung harap jika tidak pada Tuanku semua.

Sekali lagi Jebat mengucapkan jutaan tahniah atas keperihatinan YAM  Tuanku Sultan Selangor Darul Ihsan, moga-moga ALlah memanjangkan usia Tuanku memerintah Selangor Darul Ehsan dengan penuh keberkatan.

Harapan Jebat jika raja-raja di negeri lain turut mencontohi Baginda Sultan Selangor dalam menegur tindakan pemimpin-pemimpin politik yang sudah hilang kewarasannya  dalam bertindak.

Malangnya, Jebat kesal kerana ketika Baginda Sultan Selangor begitu prihatin dengan hal ehwal rakyat,   Raja yang memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang pula sebaliknya,  telah meroboh rumah setinggan yang dibina di atas tanah yang diwakafkan untuk Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dengan cara yang cukup mengharukan.

Mereka yang sudah sekian lama  mendiami tanah MAIK tersebut walaupun secara tidak sah sepatutnya diarahkan keluar dengan cara yang baik.

YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan ketika melawat mangsa merasa sungguh sebak dan pilu melihat tindakan yang di luar batas kemanusiaan itu.

Tanah tersebut katanya akan dibangunkan oleh MAIK bersama dengan sebuah syarikat Cina. Istana Kelantan memang gemar berurusan dengan taukeh-taukeh Cina antaranya Syarikat Adorna Sdn. Bhd. yang berpengkalan di Pulau Pinang.

Taukeh-taukeh ini dianugerahi dengan gelaran Dato' dan sebagai ganjaran baliknya pelbagai hadiah telah diberikan kepada Istana Kelantan termasuklah sebuah Taman Bunga yang dinamakan sempena dengan nama Raja Perempuan Kelantan.

Kita masih ingat, ketika baginda Tuanku Ismail membawa lari kereta Lamborghini milik baginda pada tahun 1992 dahulu, seluruh rakyat dan kerajaan Angkatan  bersatu padu berdiri teguh di belakang Tuanku dengan penuh kasih sayang.

Majlis-majlis Raja  bersama rakyat dihadiri oleh puluhan ribu rakyat, berebut-rebut untuk bersalaman dengan baginda al-Sultan.

Namun sekarang rakyat  sudah meluat dengan Sultan Kelantan seperti mana meluatnya rakyat dengan Mahathir.

Istana Kelantan bukan sahaja menyusahkan Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru, termasuk dalam pemilihan Exco-exco, membazir wang rakyat dan menggalakkan segala jenis bentuk program maksiat yang bertentangan dasar Kerajaan Negeri, dengan Mak Yongnya, Menora, Pertunjukan Fesyen dan macam-macam lagi.

Suasana sudah berubah, tiada lagi rakyat yang berebut-rebut untuk bersalaman dengan al-Sultan Kelantan di setiap kali lepas sembahyang Jumaat yang baginda hadiri, kerana baginda sudah "dimurkai" oleh rakyat.

Rakyat terpaksa menunggu berjam-jam untuk menunaikan sembahyang Jumaat, kerana Baginda Sultan Kelantan belum berangkat tiba lagi!.

Siapakah yang lebih besar ALlah atau pun  Sultan?

Daulat Tuanku Sultan Selangor!
 

sumber: Tulisan ini telah dikirimkan oleh salah seorang pengunjung yang menggelarkan dirinya "Jebat Reformasi".Terima kasih.