Mahathir Dan Kebebasan Kehakiman

 


  "Negara akan hancur dan rakyat akan menderita jika mereka mengambil  tindakan tidak menghormati mahkamah dan melanggar undang-undang   dengan  melakukan rusuhan secara berterusan," demikian kata Mahathir pada 18 April di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan banyak akhbar.
Mahathir nampaknya kesal kerana rakyat tidak menghormati keputusan mahkamah menjatuhkan hukum bersalah dan penjara enam tahun ke  atas Anwar  Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri. Keputusan mahkamah itu telah  mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan di Kuala Lumpur.
Pada hari ini, barulah Mahathir nampak betapa pentingnya menjaga maruah dan kewibawaan mahkamah. Sekiranya mahkamah Malaysia bebas,  rakyat akan  menerima keputusan ke atas Anwar Ibrahim dengan hati terbuka. Tetapi kerana rakyat tahu mahkamah terbelenggu dan tidak bebas, maka mereka menyatakan rasa tidak puas hati. Kerana itulah terjadinya bantahan dan demonstrasi.
Siapakah sebenarnya yang telah menekan dan menghakis kebebasan kehakiman di Malaysia ini? Ini Mahathir kena jawab sendiri. Jika beliau  tidak lupa, Mahathir mesti menjawab siapakah yang telah memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada bulan Mei 1988? Bukan Tun Salleh Abas saja dipecat tetapi dua orang Hakim Mahkamah Agung turut dipecat bersama-sama  Ketua hakim Negara itu.
Apakah Mahathir sedar bahawa Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah  Agung pada Mei 1988 itu telah digantung jawatan mereka pada mulanya tanpa dibicarakan terlebih dahulu? Apakah Mahathir sedar pada 11 tahun yang lalu, bahawa tindakannya menyerang para hakim boleh menjejaskan kebebasan dan kewibawaan bidang kehakiman? Apakah pada waktu itu Mahathir sedar bahawa terdapat Prinsip-Prinsip Asas Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Kebebasan Kehakiman yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 13 Disember 1985, yang menyebutkan bahawa hakim-hakim berhak untuk melindungi kebebasan mahkamah?  Apakah Mahathir sedar pada tahun 1988 itu bahawa Tribunal yang ditubuhkan untuk membicarakan Ketua Hakim Negara dan 5 Hakim Mahkamah Agung yang terlibat tidak mengikut tatacara yang dipakai oleh dunia antarabangsa?
Adakah Mahathir sedar sejak dari peristiwa pemecatan itu, kewibawaan dan kebebasan kehakiman Malaysia telah disangsikan oleh rakyat  Malaysia sendiri dan dunia luar? Apakah dalam tempoh 11 tahun ini Mahathir telah berbuat sesuatu untuk memulihkan bidang kehakiman di negara ini?
Seterusnya, soalan terkini: Apakah Mahathir cuba menghina  mahkamah dan dunia perundangan Malaysia dengan melantik Ibrahim Ali sebagai  Timbalan Menteri menjaga hal ehwal Mahkamah dan Undang-Undang? Beliau  bukan  seorang Ahli Dewan Rakyat. Hanya seorang Senator yang dilantik  Mahathir.
Rakyat tidak memilihnya. Apa wibawanya untuk menjaga urusan kehakiman  dan perundangan?
Hari ini Mahathir minta rakyat menghormati mahkamah. Selama ini siapakah  yang tidak menghormati mahkamah? Jawapannya ialah Mahathir sendiri.  Serangan Mahathir ke atas kebebasan mahkamah tidak setakat kes  pemecatan Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Agung. Malah sebelum kes  pemecatan itu, pada tahun 1987 lagi, Mahathir sering mengkritik  hebat keputusan-keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi kerajaan.  Apa yang Mahathir lalukan ini semacam tekanan,ugutan dan campurtangan  kerajaan  (eksekutif) ke atas mahkamah.
Menurut Prinsip-Prinsipi Asas PBB mengenai Kebebasan Kehakiman, menyatakan bahawa hakim perlu menimbang kes yang dibicarakan " tanpa ada sebarang halangan, sebarang bentuk pengaruh, tekanan, ugutan atau campurtangan, sama ada langsung atau tidak langsung, dari mana-mana pihak untuk apa-apa alasan pun". Tetapi apa yang Mahathir  lakukan adalah  sebaliknya. Malah beberapa tahun yang lalu, dalam kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai Empangan Hidroelektrik Bakun Mahathir telah mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi itu. Ini satu tekanan dan campurtangan langsung Mahathir ke atas mahkamah.  Kerajaan di bawah Mahathir juga telah menghakis kuasa mahkamah. Mahathir telah membuat pelbagai pindaan undang-undang dan Perlembagaan Negara untuk menghadkan kuasa mahkamah. Contohnya, Mahathir telah  membuat pindaan sehingga menghapuskan judicial review bagi mencabar undang-undang mengenai penerbitan dan percetakan dan juga ISA. Mahathir  jugalah orangnya yang bertanggungjawab meminda Perlembagaan  Negara sehingga memindahkan banyak kuasa mahkamah sebelum ini kepada  Parlimen  dan Eksekutif. Ini menjejaskan doktrin pengasingan kuasa. Eksekutif  dikuasai Mahathir. Parlimen juga dikuasai Mahathir dengan menggunakan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen. Setelah martabat, kewibawaan dan kebebasan kehakiman diserang, bagaimana Mahathir sekarang boleh bercakap tentang rakyat dan dunia luar perlu menghormati mahkamah Malaysia?
Satu daripada kesalahan-kesalahan  besar Mahathir sebagai Perdana  Menteri Malaysia ialah serangannya terhadap kebebasan kehakiman di negeri ini. Akibatnya Mahathir sendiri yang tanggung sekarang.  Kuasa yang ada padanya boleh menahan Anwar Ibrahim. Mahathir boleh membawanya ke mahkmah. Mahathir boleh menjatuhkan hukum Anwar bersalah.  Mahathir boleh hukum Anwar merengkok dalam penjara sampai enam tahun. Tapi pada  mata rakyat dan dunia antarabangsa yang bertamadun, semua yang dilakukan oleh Mahathir dan mahkamahnya adalah tidak sah. Keputusan mahkamah ke atas Anwar Ibrahim tidak dihormati. Rakyat tidak dapat menerimanya. Rakyat mempersoalkan kesahihannya.Rakyat nampak ketidakadilan. Jadi,  rakyat menuntut keadilan.