Make your own free website on Tripod.com
REFORMASI LWN KONSPIRASI DI MAHKAMAH

Ummi dan pita rakaman

Minggu ini kita menyaksikan saksi utama pihak pendakwaraya, Ummi Hafilda, di bawa ke  mahkamah sebagai saksi. Ekoran daripada itu banyak pendedahan sudah mula terbongkar seperti mana yang telah kami senaraikan sebelum ini. Kita berterima kasih kepada Ummi.

Ummi sebelum ini begitu berbangga kerana memiliki pita rakaman di mana kononnya Anwar merayu kepada Azizan agar jangan laporkan perkara "liwat"  itu kepada  polis, namun "pita" tersebut gagal diserahkan kepada mahkamah kerana beralasan ianya masih dalam simpanan Dato' Aziz Shamsuddin. Soalannya, benarkah pita tersebut wujud, kerana jika wujud kenapa tidak diserahkan sahaja? Bukankah pita itu nanti akan menguatkan lagi hujah Ummi?

Di ketika Ummi begitu yakin, tiba-tiba  beliau  dikejutkan dengan pita rakaman beliau dengan Datuk Sng Chee Hua, dari Sarawak itu. Pucat lesi muka Ummi. Tiada siapa menduga samada Ummi, Gani Patail mahupun Hakim Paul sendiri akan kewujudan pita sedemikian. Kecekapan peguam Anwar menyimpan pita seumpama itu sehingga ke saat akhir sebegini seharusnya dipuji.

Ianya mengejutkan semua pihak sehingga hakim sendiri terkapai-kapai (cuba menutupi dari terbongkar rahsia konspirasi). Namun polis dengan cepat menyoal-siasat Sng sedangkan perbicaraan masih lagi berjalan. Ini menganggu saksi namanya!. Ini menunjukkan betapa sekarang ini golongan konpirasi sudah mula menggelabah, kerana tembelang mereka sudah hampir pecah. Polis sendiri tidak menduga kewujudan pita berkenaan.
 

Ummi Diugut Bunuh

Ummi ketika disoal oleh pendakwaraya Azahar Mohamed mendakwa kononnya beliau dan ibunya telah menerima ancaman bunuh oleh pihak tertentu. Yang anehnya, Azahar tidak pula meneruskan soalan siapa dan pihak manakah yang terlibat. Apa yang cuba dilakukan oleh Azahar ialah membiarkan kita semua mentafsirkan sendiri, dan  seolah-olah cuba menimbulkan syak bahawa mereka itu adalah sebenarnya orang suruhan Anwar.

Dari sumber peguam Anwar yang diperolehi oleh Doi Moi, mereka yang mengugut itu sebenarnya bukan orang Anwar tetapi sebaliknya adalah orang-orang upahan puak konspirasi yang bimbang Ummi akan berpaling tadah dengan membocorkan rahsia konspirasi mereka. Mereka yang terlibat dalam memeras ugut itu sebenarnya ialah Mohd Taib Salamon dan B.K Tan yang sekarang  ini masih  ditahan polis kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memeras ugut. Mereka berdua adalah bekas polis yang diupah oleh Dato' Aziz Shamsuddin.

Anwar lwn Mahathir

Memang kita sudah menduga bahawa saman Anwar yang meminta agar mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau masih lagi ahli kabinet yang sah akan ditolak. Pertama,  kerana kes itu dengan tiba-tiba dipindahkan  dari satu mahkamah sivil ke mahkamah sivil yang lain kerana arahan dari Hakim Besar Malaya. Soalannya kenapa perpindahan ini perlu dibuat? Apakah kerana hakim berbangsa Cina sebelum ini sukar untuk "dibeli" dibandingkan dengan hakim Mohd. Saari Yusoff. 

Karpal memang mula mencium bahawa sudah ada "permainan" di belakang pertukaran ini. Walaupun beliau membantah, namun ianya tidak berjaya.

Apabila ianya  diteruskan di bawah Hakim Saari --  ternyata benar seperti yang dijangkakan oleh Karpal dan kita semua, Saari dengan mudah menolak saman Anwar itu tanpa mendengar kes tersebut terlebih dahulu.

Ternyata Karpal Singh tidak berputus asa dan terus memfailkan notis rayuannya di Mahkamah Tinggi (Sivil).

Mengikut pakar  perundangan, hujah yang dibawa oleh Karpal Singh amat kuat dan hakim tidak sewajarnya menolak sebegitu awal. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertuan Agonglah yang melantik Jemaah Menteri melalui nasihat Perdana Menteri, dan pemecatan mana-mana ahli jemaah menteri hendaklah terlebih dahulu mendapat perkenan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Hujah pendakwaraya bahawa adalah mandatori bagi Agong untuk bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri sepertimana peruntukan perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan tidak dinafikan, namun  yang berlaku sekarang ialah  Mahathir memecat Anwar terlebih dahulu  dan hanya  memaklumkan  sahaja kepada Agong. Ini sudah terbalik seolah-olah sekarang Mahathir yang menjadi Agong  manakala Agong hanyalah tunggul kayu sahaja!.

Jika ini keadaannya, Demokrasi Raja Berpelembagaan sudah tiada makna lagi kerana segala-galanya berada di tangan Mahathir seorang. Kuasa mutlak berada ditangan beliau. Apakah Malaysia sekarang ini sudah mula menjadi sebuah negara Republik pada amalannya walaupun belum pada namanya?

Perkara 43(5) jelas menyebut: "Tertakluk kepada fasal (4), Menteri-menteri yang lain daripada Perdana Menteri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang diPertuan Agong, melainkan jika perlantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya".

Manakala perkara 40(1) berbunyi: "Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang diPertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang diPertuan Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri"

Hujah Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan Abu Bakar Jais bahawa  perkara 43(5) perlu dibaca dengan perkara 40(1) tidak disangkal sama sekali, namun kuasa memecat masih lagi mutlak berada di tangan Agong sepertimana klausa  "..Agong hendaklah bertindak...".dalam perkara 40(1) di atas. Sehingga kini Agong belum pun bertindak, yang bertindak hanyalah Mahathir seorang!.
 

Perlantikan Mahathir dan Mustapha Mohamed Tidak Sah

Bukan itu sahaja,  perlantikan Mahathir dan Mustapha Mohamed  sebagai Menteri Kewangan Pertama dan Kedua adalah tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mengangkat sumpah terlebih dahulu di hadapan Yang DiPertuan Agong.

Cuba kita amati Perkara  43(6) Perlembagaan Persekutuan yang  berbunyi: "Sebelum seseorang Menteri menjalankan tugas-tugas jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang Dipertuan Agong suatu sumpah jawatan dan taat setia  dan juga sumpah rahsia yang dinyatakan dalam jadual keenam".