Make your own free website on Tripod.com

RESTORAN DIARAH BATALKAN TEMPAHAN PENYOKONG REFORMASI

Kuala Lumpur, Sabtu 26 Dis. Encik William Ng, seorang aktivis sosial yang dikenali ramai baru-baru ini memberitahu wartawan RN akan satu lagi jenis penindasan yang dibuat ke atas kumpulan yang memperjuangkan keadilan dan hak-hak asasi manusia.

Pada masa ini beliau sedang giat mengumpulkan angota masyarakat Cina yang menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan Reformasi.

Salah satu aktiviti yang beliau anjurkan ialah majlis makan malam yang dihadiri oleh masyarakat Cina yang menamakan diri mereka 'Chinese Support Group' ataupun "Kumpulan Cina Penyokong' bagi gerakan keadilan dan hak asasi manusia.

Beliau sudah berjaya mengumpulkan hampir 2000 orang untuk menghadiri majlis malam yang akan diadakan di Restoran Nelayan Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. Wang pendahuluan majlis itu sebanyak RM5000 pun sudah beliau bayar dengan tunai. Malah pihak pengurusan restoran sendiri amat seronok dengan jamuan sebesar itu.

Dua hari kemudian En. William menerima panggilan telefon daripada pengurus restoran Nelayan Titiwangsa yang memaklumkan beliau diarahkan oleh 'orang atas' supaya membatalkan tempahan En. Ng dan memulangkan wang pendahuluannya.

Majlis makan malam itu bertujuan mengumpulkan individu-individu daripada kalangan masyarakat Cina yang menyokong perjuangan Reformasi keadilan dan bagi memberikan sokongan moral kepada 723 orang yang ditangkap polis sepanjang aktiviti tunjuk perasaan Reformasi secara aman di seluruh negara baru-baru ini.

Kini En. Ng sedang mencari restoran lain untuk meneruskan rancangan majlis makan malam itu dan beliau berharap kali ini restoran itu tidak akan dapat ditekan oleh 'orang atas'. - RN