Make your own free website on Tripod.com

DI MANA DATO' JOHAN JAAFFAR SEKARANG

Kuala Lumpur, Jumaat 25 Dis. Disebabkan RN banyak mendapat pertanyaan daripada pembaca tentang di mana dan apa yang dibuat oleh Dato' Johan Jaaffar sekarang, wartawan kami telah cuba mencari maklumat tentang beliau.

Dato' Johan Jaaffar ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan di syarikat Utusan Melayu (Msia) Bhd. Beliau meletakkan jawatan secara mengejut beberapa waktu sebelum Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr. Mahathir daripada semua jawatannya di dalam kerajaan dan kemudian daripada parti.

Wartawan RN melaporkan, Dato' Johan Jaaffar sekarang menjalani kehidupan sebagai seorang peladang di kebunnya di Pagoh, Johor, suatu gaya hidup yang sesuai dengan jiwa senimannya. Beliau yang berasal dari kampung Parit Sulong, berulang-alik antara kebunnya dan Petaling Jaya di mana isteri dan anak-anaknya tinggal.

Di kebunnya itu beliau menanam pokok buah-buahan termasuk durian dan duku. Sekali-sekala beliau didatangi rakan-rakan lama beliau yang terdiri daripada para penggiat drama pentas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Mereka melepak dan tidur di rumah ladangnya sambil berbincang tentang seni dan drama.

Sebelum beliau memimpin Utusan Malaysia, Dato' Johan Jaaffar terkenal sebagai aktivis teater Melayu yang sangat berbakat. Isteri beliau, Datin Sarah Sardon ialah seorang pengkaji sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum meletakkan jawatan untuk menumpukan masa kepada keluarga.

Dato' Johan Jaaffar ialah strategis imej Dr. Mahathir yang amat pintar. Dengan menggunakan media yang dipimpinnya beliau berjaya menggambarkan Dr. Mahahthir sebagai pemimpin kepada bangsa Melayu dan juga pemimpin Malaysia yang ideal.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatannya yang cemerlang diSyarikat Utusan Melayu, pengurusan syarikat tersebut telah menghadiahkan kepada Dato' Johan Jaaffar kereta Mercedes yang menjadi kereta rasminya dahulu. RN