Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN MEDIA:
SIASAT PERDANA MENTERI DAN TIGA ORANG MENTERI
(15 Mei 1999 / 29 Muharam 1420)

    Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat memandang serius isu keretakan Pusat Latihan Rekrut (PULAREK) di Tanjung Pengalih Johor.  DPP Pusat menganggap isu keretakan ini amat memalukan rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia sekaligus meletakkan warga PULAREK dalam keadaan
bimbang dari sudut keselamatan diri mereka.

    Isu keretakan PULAREK dari sudut psikologi telah meletakkan rakyat Malaysia dalam keadaan kebimbangan kerana isu ini menggambarkan betapa lemahnya perancangan dan pembangunan pertahanan dalam negara kita. Keributan dalam isu keretakan PULAREK ini juga mendedahkan
kelemahan pertahanan negara kepada pengetahuan umum dan boleh menyebabkan
negara luar sentiasa melakukan provokasi terhadap Malaysia.

    DPP Pusat dengan ini mendesak supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan secara telus dan mempastikan tindakan yang wajar perlu diambil kepada mereka yang terbabit dalam isu PULAREK. DPP Pusat menuntut BPR bukan hanya menyiasat ke atas 5 syarikat yang
mendapat tender bagi membangunkan PULAREK dan pegawai-pegawai 2 kementerian yang terlibat,  tetapi siasatan juga hendaklah dibuat terhadap 2 orang bekas Menteri Pertahanan iaitu Dato’ Seri Najib dan Dato’ Syed Hamid Albar serta Menteri Kerja Raya Dato’ Seri S. Samy Vellu.
Siasatan ke atas mereka adalah perlu kerana perancangan projek tersebut dibuat di waktu Dato’ Seri Najib, kedua pelaksanaannya di waktu Dato’ Syed Hamid Albar dan keretakan itu telah diketahui oleh Dato’ Seri S. Samy Vellu sejak enam bulan lalu sedangkan tiada satu tindakan dibuat
sehingga keretakan itu semakin kritikal.

    DPP Pusat melahirkan rasa bimbang kemungkinan berlaku amalan kronisme, nepotisme dan rasuah dalam pemberian tender dan perlindungan kepada syarikat yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat  yang membabitkan pengaruh kuasa menteri. Ini
berikutan kenyataan Dato’ Syed Hamid Albar baru-baru ini yang menunjukkan ada sesuatu tersembunyi di sebalik isu ini. DPP Pusat mengharapkan BPR tidak terpengaruh dengan kuasa politik untuk melindungi menteri dalam kes ini.

    Bagi memudahkan siasatan BPR terhadap 3 menteri tersebut tanpa gangguan politik, DPP Pusat menuntut kedudukan jawatan 3 menteri itu digantung sementara waktu sehingga BPR selesai menyiasat  supaya mereka tidak menggunakan kuasa untuk menyeleweng dan memusnahkan
dokumen-dokumen yang berkaitan  dengan perancangan kelulusan tender dan yang berkaitan dengan pembinaan PULAREK. Dengan cara ini BPR akan berupaya membongkarkan segala keburukan dan kebusukan najis kronisme, nepotisme dan rasuah yang berlumuran ke atas batang tubuh pemimpin Umno dan BN.

    DPP Pusat juga menuntut BPR menjalankan siasatan ke atas perolehan projek penswastaan yang diberikan kepada dua orang anak  Perdana Menteri (PM) seperti projek MISC dan juga projek penswastaan sokongan Redicre Sebelah Selatan seperti diumumkan oleh Dato’ Fauzi Abdul Rahman dalam Dewan Parlimen. Terdapat keraguan unsur kronisme, nepotisme dan rasuah pemberian projek penswastaan kepada dua orang anak PM ini ekoran kedudukan mereka sebagai anak PM. PM menuduh bahawa Dato’ Seri Anwar telah mengkayakan kroni beliau sedangkan penjelasan yang dibuat oleh Dato’  Fauzi telah menempelak PM kerana anak PM juga mendapat
peluang dan habuan projek penswastaan yang ada dalam negara kita.

    DPP Pusat meragui kenyataan Mokhzani yang mengatakan bahawa beliau dan abangnya mendapat projek penswastaan kerana merit syarikat mereka. Sedangkan pada pandangan DPP Pusat masih banyak lagi   syarikat lain yang mempunyai keupayaan dan pengalaman yang sepatutnya diberi tanggungjawab tersebut. Ini terbukti apabila syarikat Mirzan mengalami hutang yang tidak mampu dijelaskan tapi sebaliknya atas sifat beliau anak PM dan kuasa PM maka wang rakyat melalui dana Petronas digunakan untuk menyelamatkan anak PM.

    Justeru itu bagi memudahkan siasatan dan kerja BPR, adalah dituntut supaya kedudukan jawatan Dato’ Seri Dr. Mahathir sebagai PM juga perlu digantung dan dipangku oleh Timbalan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengelakkan sebarang gangguan kuasa
politik  yang bertujuan melindungi segala najis kotoran kronisme, nepotisme dan rasuah yang sudah sebati dengan pemimpin Umno dan BN.

“BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN”
“BANGKIT TOLAK BN”

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat