MOHTAR ABDULLAH TURUN PADANG

Kuala Lumpur, 8 Feb (AFP)-- Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini, Isnin, telah mula memberikan keterangannya di kandang saksi buat pertama kalinya sejak perbicaraan terhadap empat  tuduhan salahguna kuasa keatasnya bermula sejak November lalu.

Anwar memakai seluar hitam dan berbaju biru berlengan panjang kelihatan membawa sebuah beg briefcase coklat masuk ke kandang saksi untuk memberikan keterangannya.

Peguam Anwar, Raja Aziz, memaklumkan kepada mahkamah bahwa Anwar adalah saksi pertama mereka dan membantah apabila diberitahu bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohtar akan mengetuai pihak pendakwaraya.

Beliau berhujah ini adalah kerana Mohtar adalah saksi dalam kes ini, namun Hakim Paul menolak bantahan peguambela kerana berpendapat bahawa Peguam Negara "berhak mencampuri mana-mana kes mengikut budi bicaranya"

Bercakap dalam bahasa kebangsaan, Anwar memaklumkan kepada mahkamah tentang bidang-bidang  tugasnya terdahulu dan beliau kebiasaannya tidak boleh bertindak melainkan mendapat persetujuan Perdana Menteri terlebih dahulu.

"Saya tidak boleh mengambil sebarang keputusan melainkan mendapat persetujuan Perdana Menteri, atau pun ianya jelas dari segi undang-undang dan peraturan ataupun ianya sudah diluluskan oleh kabinet", ujar Anwar.

Anwar juga memakulmkan bahawa beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Pentadbiran Kabinet yang menjalankan penyiasatan terhadap sebarang aduan berhubung dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa samada terhadap menteri, pegawai kanan kerajaan atau pun Perdana Menteri sendiri.

"Tugas saya sangat berat dan tidak disukai ramai orang", ujar Anwar lagi.

Sebarang aduan terhadap mana-mana menteri tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri tetapi sebaliknya dihantar terus ke Badan Pencegah Rasuah (BPR). 

"Saya tidak tahu samada BPR ada merujukkan semua kes-kes tersebut kepada pejabat Peguam Negara atau tidak jika ada sebarang halangan atau sekatan, pihak  BPR akan memaklumkan kepada beliau", tambah Anwar.

Raja Aziz minta Anwar perjelaskan "halangan-halangan" yang pernah dialaminya, namun Peguam Negara membantah kerana berpendapat bahawa soalan tersebut tidak relevan.

Mohtar berkata:" kita mesti tumpukan perbicaraan ini untuk mengetahui samada tertuduh bersalah atau tidak dalam menyalahgunakan kuasanya, dan bukannya untuk mendedahkan ada menteri atau pegawai lain telah lakukan (penyalahgunaan kuasa).

Namun Raja Aziz berhujah bahawa "halangan" terhadap siasatan BPR yang dibangkitkan ini adalah berkaitan kerana tertuduh mendakwa beliau merupakan mangsa satu konspirasi.

Perbicaraan ditangguhkan seketika untuk menyelesaikan pertelingkahan antara peguambela dan pendakwaraya.~Doi Moi.

sumber:diterjemahkan dari AFP

Ulasan berita:

Beberapa persoalan wajar direnungkan oleh kita semua terhadap perbicaraan Anwar hari ini:
 

  • Kenapa tiba-tiba Mohtar sendiri yang turun padang bertindak sebagai pendakwaraya, adakah kerana beliau kurang yakin dengan kemampuan Gani Patail dan anak-anak buahnya yang alin?;
  • Atau Mohtar turun kerana apa yang Mohtar tahu semuanya Anwar tahu dan bimbang Anwar akan mengambil kesempatan ini mendedahkan semua pakatan jahat khususnya yang melibatkan Mahathir-Peguam Negara;
  • Mohtar tidak sepatutnya menjadi pendakwaraya kerana beliau juga merupakan saksi dalam kes ini;
  • Kenapa persoalan "halangan"  begitu  membimbangkan Mohtar dan dengan pantas cuba menyekat dari terbongkar. Bukankah jelas bahawa banyak kes-kes yang dihalang oleh Mahathir dari diketengahkan oleh Mohtar turut diketahui oleh Anwar. Contohnya,  Mohtar tahu bahawa Anwar tahu kes yang melibatkan Rahim dan budak bawah umur sebenarnya adalah kes prima facie, tetapi kerana arahan Mahathir, Rahim tidak didakwa. Terlalu banyak kes-kes lain seperti Jeffrey Kitingan, Zainal Rampak.., Muhammad Taib dan lain-lain yang kesemuanya "dihalang" oleh Mahathir dari diketengahkan.
  • Bukankah setiap kes yang nak dibawa ketengah Mohtar mesti mendapat "greenlight" dari Mahathir terlebih dahulu? Dan hal ini Anwar tahu dan Mohtar tahu  yang Anwar tahu;
  • Hakim Paul pula seperti biasa menunjukkan dengan nyata dan jelas sikap berat sebelahnya. Apakah dia ingat orang ramai tidak sedar ini semua?. Apakah apabila Anwar dihukum bersalah, maka rakyat akan menerima dengan tenang dan aman, sedangkan perjalanan mahkamah sudah jelas tidak adil;
  • Adilkah Anwar yang sehingga kini tidak dibenarkan diikat jamin walhal belum bersalah lagi.
  • Adilkah Tan Sri Lamin Yunus menolak rayuan ikat jamin Anwar semata-mata kerana ramainya penyokong Anwar membuat bising dan menganggu di luar mahkamah setiap hari? Apa kena-mengena penyokong Anwar dengan kes Anwar ini? Terlalu dangkal nampaknya hakim-hakim Malaysia hari ini. Mungkin mereka ini sudah tidak layak digelar Yang Arif lagi. Inilah akibat apabila para hakim terlalu takut kepada kuasa diktator Mahathir. Kuasa wang mengatasi citarasa inginkan keadilan dan kebenaran yang tersemat di hati hakim-hakim ini.